Adun Skudai kecewa mentaliti 'yuran sampah' peniaga, Manjung dan Labuan dipetik jadi contoh lokasi terbersih di Malaysia


  • Primer
  • Ahad, 21 Mei 2023

Keadaan sampah bertaburan di atas tapak pasar malam di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor selepas waktu perniagaan pada Sabtu. — Twitter/MarinaIbrahim

PASAR malam seakan-akan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di Malaysia.

Pergi sahaja ke mana-mana tempat di seluruh pelosok negara, pasar malam pastinya sudah menjadi acara mingguan bagi penduduk setempat.

Malah, ada sesetengah tempat di mana pasar malam yang didirikan itu menjadi destinasi tarikan utama apabila pelancong berkunjung ke kawasan berkenaan.

Namun begitu, tidak semua berkaitan aktiviti perniagaan tersebut adalah indah-indah belaka.

Ini kerana pasar malam juga sering kali dikaitkan dengan isu kebersihan membabitkan longgokan sampah khususnya yang berlaku selepas waktu perniagaan berakhir.

marina

ADUN Skudai, Marina Ibrahim. — Bernama

Masalah tersebut turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim yang menegur sikap peniaga pasar malam di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor.

Ia selepas beliau menerima aduan berhubung taburan sampah yang dibiarkan di tengah-tengah jalan dipercayai ditinggalkan peniaga di pasar malam terbabit pada Sabtu.

"Meniaga boleh meniaga, tapi kebersihan kena jaga. Jangan ada mentaliti 'aku dah bayar yuran kebersihan' lepastu sampah merata buang habis niaga.

"Hujan sampah masuk longkang tersumbat jadi masalah," ujarnya menerusi ciapan di Twitternya yang turut berkongsikan gambar keadaan di pasar malam terbabit selepas waktu berniaga.

Menurut Marina, situasi kotor di jalan tersebut tersebut mendapat bantahan daripada pemilik kedah beroperasi di kawasan tersebut.

pasar malam

Terdapat warganet yang menjadikan pasar malam Giant Seri Manjung, Perak sebagai contoh pasar yang mempunyai tahap kebersihan terbaik. — Facebook/HalimHamed

Susulan daripada itu, terdapat warganet memberikan beberapa cadangan bagi menyelesaikan masalah tersebut antaranya dengan mengenakan deposit yang tinggi kepada peniaga.

"Kalau ada sampah, deposit hangus dan terus senaraihitamkan," tulis drfitriyusof.

"Tengok sampah kebanyakan daripada vendor mana. Sekat terus! Dia tanya kenapa tak boleh masuk, tayang bukti dia menyusahkan orang. Dekat Farmers Market Cyberjaya (Selangor) buat macam ni memang auto kena gam tak boleh join dah," ujar itskhairulanuar.

"Diorang (mereka) kena buat lawatan sambil belajar ke pasar malam Giant Seri Manjung, Perak. Tapi kadang-kadang pengunjung pun sama jer pengotor. Tak boleh salah peniaga semata.

"Banyak-banyak bandar dekat Malaysia ni aku pernah tinggal, Seri Manjung dan Labuan adalah paling bersih daripada tempat lain," tulis janggut34544893. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram