
SEORANG individu yang menaiki kereta mewah tanpa segan-silu membuang sampah ke dalam sungai dari tepi jalan yang ketika itu sesak dengan kenderaan.
Insiden yang dirakam dari kamera papan pemuka sebuah kenderaan itu dipercayai berlaku di satu kawasan berdekatan Setapak, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Menerusi klip berdurasi 33 saat, lelaki berkenaan dilihat meletakkan kereta dinaikinya di tepi jalan sebelum keluar bagi membuang sampah plastik berwarna putih dari atas jambatan sungai itu.
Tindakan tersebut menyebabkan rasa tidak puas hati pemilik video berkenaan yang didengar menerusi rakaman terbabit terus tampil menegur perbuatan tidak bertanggungjawab individu terbabit.
"Hei pak cik, buang je sampah tu," katanya dari dalam kenderaan.
Klip yang dikongsikan pengguna Facebook, Adeeq' Azreen itu turut mendapat reaksi daripada warganet yang rata-ratanya menyatakan kekecewaan mereka terhadap perbuatan lelaki berkenaan.
Malah, ada antaranya berpandangan bahawa sikap ditunjukkan itu tidak sepadan dengan jenis kenderaan yang dinaiki lelaki tersebut.
"Kereta mewah, otak kosong," ujar Lew CK.
"Sikap yang baik tidak boleh dibeli dengan duit," tulis Mohd Hafiz Ayob.
"Sesungguhnya bodoh itu free, dekat sesiapa pun ada tak kisah orang miskin ke orang kaya, semua boleh dapat. Yang viral dulu dekat Kelantan orang buang sampah ke dalam sungai tu pun pakai Perodua Bezza sahaja," ujar ايذ امڤير. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram