Jangan terpedaya harga 'tak masuk akal' telefon di media sosial, periksa SemakMule — Bukit Aman


  • Massa
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Pengguna disaran untuk sentiasa berwaspada dengan tawaran telefon pintar yang dijual dengan harga murah di laman media. — Gambar hiasan

POLIS menasihatkan agar orang ramai sentiasa berhati-hati dengan tawaran telefon pintar murah yang dijual di media sosial.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Kuala Lumpur berkata, orang ramai jangan terlalu mudah percaya dengan tawaran harga yang tidak masuk akal.

"Untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan e-dagang, sila semak profil penjual.

"Penipu akan menggunakan nama syarikat tertentu untuk menipu mangsa," kata jabatan itu di laman Facebook rasminya.

Semak komen dan ulasan untuk sebarang siaran bagi telefon mudah alih yang ditawarkan dengan harga murah itu, kata JSJK.

"Berhati-hati jika anda diminta untuk pergi ke laman web lain, memuat turun fail Kit Pakej Android (APK) atau berurusan melalui WhatsApp.

"Jangan dedahkan sebarang maklumat peribadi atau perbankan kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali," tambah jabatan itu.

JSJK turut berkata, orang ramai perlu menyemak nombor akaun dan nombor telefon penjual melalui laman web 'SemakMule' sebelum membuat sebarang transaksi.

"Mangsa penipuan boleh menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) di 997 atau bank masing-masing untuk melaporkan kes," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram