Annuar kembali aktif berpolitik, dakwa 1,000 lagi bakal sertai PAS bersamanya


  • Politik
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Annuar berkata, beliau akan menamatkan tempoh rehatnya daripada politik selama enam bulan kerana negara memerlukan kepimpinan lebih baik dengan "angka yang betul".

BEKAS Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendakwa terdapat 1,000 individu lain bakal turut menyertai PAS bersama dengannya.

Bercakap kepada media pada majlis rumah terbuka Hari Raya Muafakat Nasional di Plaza Damas, Kuala Lumpur pada Sabtu, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, beliau sedang menunggu kelulusan pimpinan tertinggi PAS untuk mereka menyertai parti itu.

“Bukan 10 ahli Umno sahaja seperti yang dilaporkan, tetapi 1,000 yang lain telah memohon bersama saya untuk menyertai PAS,” katanya sambil menambah mereka akan mengetahui keputusan itu pada minggu kedua Jun depan.

Annuar berkata, beliau akan menamatkan tempoh rehatnya daripada politik selama enam bulan kerana negara memerlukan kepimpinan lebih baik dengan "angka yang betul".

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan pada 18 Mei lalu bahawa Annuar menghantar borang keahlian PAS bersama 10 yang lain.

Turut kelihatan pada rumah terbuka Muafakat Nasional itu ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa mantan anggota kabinet.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera bagaimanapun tidak bercakap kepada media dan hanya bergambar dengan orang ramai.

Beliau diiringi ketua Pembangkang dan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Hadir sama ialah Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen kota Baru dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yaakob.

Muafakat Nasional merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang diasaskan Annuar selepas beliau dipecat daripada Umno. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram