RAMAI yang meluahkan kekecewaan apabila tiket konsert siri jelajah Coldplay iaitu Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) pada 22 November depan di Stadium Nasional Bukit Jalil habis dijual dalam tempoh tiga jam pada Rabu.
Tiket pra-jualan yang eksklusif kepada pemegang kad CIMB pada hari Selasa juga habis dijual dalam beberapa jam sahaja.
Permintaan untuk tiket itu begitu hangat sehinggakan seorang pembeli di pasaran e-dagang Carousell di negara ini menawarkan untuk membayar RM111,111 untuk mendapatkannya.
Pembeli tersebut dikatakan sedang mencari tiket untuk tempat duduk kategori 1, yang pada asalnya berharga RM1,288 setiap satu, manakala kategori 2 (RM758 setiap satu), namun berdasarkan semakan The Straits Times, tidak disebutkan jumlah tiket yang dikehendaki oleh individu berkenaan.
Disebabkan permintaan yang begitu hangat, terdapat segelintir individu yang bertindak menjual semula tiket konsert kumpulan tersebut dengan harga mencecah RM43,200 menerusi aplikasi jualan dalam talian.
Hantaran itu kemudiannya menyatakan tiket tersebut 'dikunci' pada harga RM55,200, namun hantaran berkenaan kemudian telah dipadamkan.
Menurut penganjur, Live Nation Malaysia, harga tiket konsert itu adalah dalam anggaran RM228 dan RM3,088.
The Star sebelum ini melaporkan, tiket paling murah dijual pada harga RM1,749 di pasaran tiket dalam talian Viagogo, iaitu hampir lapan kali lebih tinggi berbanding harga asal.
Pada Khamis, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, adalah tidak munasabah untuk menjual semula tiket konsert Coldplay pada harga RM43,000.
Beliau berkata, kerajaan akan meneliti tindakan berkaitan iklan jualan semula tiket Coldplay yang didapati dijual pada harga terlalu tinggi di media sosial.
Ujarnya, perkara itu juga akan dibincangkan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Bagaimanapun, Salahuddin berkata, beliau masih belum menerima sebarang laporan mengenai tiket konsert yang terlalu mahal.
Katanya, kementerian akan menyiasat jika terdapat laporan mengenai penjualan semula tiket konsert Coldplay berdasarkan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
“Kalau ada laporan rasmi, kita boleh nasihatkan orang ramai tentang perkara ini. Saya tahu orang ramai mahu menghadiri konsert itu, tetapi buat keputusan yang bijak mengenai perkara ini. Jangan beli tiket yang dijual pada harga RM43,000," tambahnya.
Kebanyakan peminat di Malaysia terutamanya yang gagal mendapatkan tiket berharap dan merayu agar kumpulan itu akan mengadakan pertunjukan kedua.
Mereka juga telah memulakan petisyen dalam talian untuk Coldplay mengumumkan konsert kedua selepas ini. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram