MPHS serbu tapak ECRL di sekitar Serendah


  • 112
  • Jumaat, 19 Mei 2023

MPHS menerima aduan daripada penduduk sekitar tapak pembinaan yang terkesan dengan aktiviti keluar masuk lori dan jentera yang menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk.

MAJLIS Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bertindak menyerbu dua tapak pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sekitar Serendah, Hulu Selangor, Selangor kerana ingkar notis henti kerja (SWO) pada Khamis.

MPHS dalam satu kenyataan medianya memaklumkan mengadakan operasi bersepadu di kawasan tapak projek pembinaan laluan ECRL yang didapati melakukan kerja-kerja tanah tanpa kebenaran pihak MPHS berhampiran Desa Anggerik dan Desa Melor, Serendah.

"Tindakan itu diambil susulan aduan penduduk setempat berhubung gangguan membabitkan pergerakan keluar masuk jentera berat di tapak pembinaan terbabit.

"Operasi ini susulan aduan diterima MPHS daripada penduduk sekitar tapak pembinaan yang terkesan dengan aktiviti keluar masuk lori dan jentera yang menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk.

"Anggota operasi mendapati kerja-kerja masih lagi diteruskan walaupun SWO untuk menghentikan kerja diserahkan kepada pengusaha tapak projek ECRL pada 8 dan 10 Mei.

"Antara aktiviti yang dilakukan di tapak seperti mengorek, memotong tanah, membina bangunan tapak perkhemahan pekerja baru dan pembinaan muka terowong exit Serendah di kawasan belakang Desa Anggerik," katanya dalam pada Jumaat.

Menurutnya, 11 jentera berat disita dalam operasi pukul 10.15 pagi itu yang disertai 37 anggota MPHS bersama anggota polis.

MPHS berkata, pihaknya memasang pita kuning di laluan utama ke tapak pembinaan bagi memastikan tiada lagi kerja-kerja tanah dilakukan di lokasi berkenaan sehingga semua syarat dipatuhi pihak syarikat.

"Tindakan diambil di bawah seksyen 70(A)(1) dan seksyen 70(A)(11) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

"Pihak syarikat melaksanakan kerja tanah tanpa kebenaran dan gagal mematuhi arahan MPHS untuk menghentikan kerja-kerja di kedua-dua kawasan berkenaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram