[VIDEO] Penunggang motosikal dikejar MPV polis di Kota Tinggi alami masalah mental


  • 112
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Tangkap layar seorang lelaki dikejar polis di Kota Tinggi Johor pada Rabu. — PDRM

SEORANG penunggang motosikal yang tular melalui satu rakaman video di Kota Tinggi, Johor didapati mengalami masalah kesihatan mental.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian itu berlaku semasa rondaan pencegahan jenayah yang dilakukan oleh kereta peronda (MPV) di Jalan Felda Air Tawar 5 - Felda Semenchu, Kota Tinggi pukul 11.30 pagi Rabu.

"Ketika kejadian polis terserempak dengan seorang lelaki yang menunggang motosikal Modenas Kriss tanpa mengenakan topi keledar.

"Anggota yang bertugas mengarahkan penunggang motosikal tersebut untuk berhenti di tepi jalan bagi tujuan pemeriksaan namun gagal mendapatkan kerjasama.

"Pihak polis mengejar suspek dan lelaki terbabit ditahan ketika memasuki sebuah kawasan Ladang Sawit di Felda Semenchu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Hussin Zamora, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah berjaya mengesan kediaman lelaki tersebut dan tindakan pemeriksaan dijalankan oleh Ketua Polis Balai Teluk Sengat.

"Hasil siasatan awal di kediaman, mendapati keadaan rumah tiada penghuni dan pintu berkunci.

"Pihak polis turut mendapat pengesahan dari penduduk setempat mengatakan lelaki berkenaan merupakan warga tempatan berusia lingkungan 46 tahun dan mempunyai rekod kesihatan mental.

"Usaha lanjut bagi mengesan penama sedang dilakukan dan diminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penama untuk menyalurkannya kepada pihak Polis di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-8837222," katanya.

Polis Kota Tinggi menasihati orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri semasa memandu kenderaan. Tindakan mengabaikan keselamatan sebegini ini dapat mengundang kecederaan parah sekiranya terlibat dalam kemalangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram