Senasib rakyat Kelantan, penduduk Sandakan hadapi masalah air bersih sejak 26 tahun


  • Massa
  • Khamis, 18 Mei 2023

Masalah mendapatkan bekalan air bersih membelenggu kira-kira 5,000 penduduk di Kampung Tinusa 2, di Batu 7, Sandakan, Sabah, sejak lebih dua dekad lalu.

UMUM mengetahui masalah perbekalan air terawat begitu sinonim di Kelantan dan berlarutan sejak sekian lama seolah-olah tiada penyelesaian.

Namun, mungkin tidak ramai tahu masalah sama turut berlaku di Sabah dan semakin memudaratkan sejak akhir-akhir ini.

Musim panas yang melanda seluruh negara pada ketika ini turut mengakibatkan keadaan menjadi lebih serius.

Bagi penduduk Kampung Tinusa 2, di Batu 7, Sandakan, Sabah, masalah mendapatkan bekalan air bersih membelenggu kira-kira 5,000 penduduk di situ sejak lebih dua dekad lalu.

Lebih parah, seakan-akan tiada penyelesaian dibuat pihak berkuasa meskipun pelbagai aduan dikemukakan kepada pelbagai pihak termasuk Jabatan Air Sabah.

Aryani mengadu mengalami kecederaan akibat kerap mengangkut air ke rumahnya. —Gambar Hiasan

Seorang suri rumah, Aryani Kasan, 53, yang sudah menetap di kampung itu selama 26 tahun mendakwa, masalah tersebut berlarutan hampir setiap hari sejak tahun lalu.

Katanya, dia bukan sahaja perlu mengangkut air dari paip berdekatan malah terpaksa membeli air mineral bagi mendapatkan bekalan air bersih, yang sudah semestinya menelan kos perbelanjaan tinggi.

Lebih menyukarkan keadaan, dia mengadu mengalami kecederaan akibat kerap mengangkut air ke rumahnya.

“Ketika ini, saya kerap sakit badan dan sakit tulang belakang selepas mengangkut air berat yang ada dalam baldi,” katanya kepada Majoriti.

Ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, katanya, dia terpaksa mencatu air untuk pelbagai keperluan harian seperti mandi, cuci pinggan mangkuk dan basuh pakaian.

air Bernama

Gangguan bekalan air di Sandakan selalunya terjadi sehingga dua hingga tiga kali dalam tempoh seminggu. — Gambar Hiasan

Aryani berkata, dia juga mengambil keputusan terpaksa membeli pam air sebagai penyelesaian jangka pendek.

“Setakat ini, saya sudah membeli dua pam air kerana yang pertama sudah rosak.

“Saya harap pam yang baru dibeli ini boleh memudahkan urusan keluarga saya dan tidak perlu lagi mengangkut air berat,” katanya.

Ketika ditanya sekiranya ada ahli politik yang turun padang bagi mendengar masalah itu, Aryani berkata, Datuk Suhaimi Nasir pernah melawat kampung tersebut.

Katanya, Ahli Parlimen Libaran itu juga berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya harap bekalan air bersih akan menjadi normal sama seperti yang dijanjikan.

“Oleh itu, tidak perlulah penduduk kampung bersusah untuk mengangkut air, seterusnya boleh menjalani kehidupan seperti biasa,” luahnya.

Ria mendakwa keadaan menjadi lebih teruk apabila ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga air mineral. — Gambar Hiasan

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang hanya dikenali sebagai Ria turut meluahkan perasaan kecewanya berhubung masalah air tersebut.

Katanya, keadaan menjadi lebih teruk apabila ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga air mineral.

"Bayangkan dulu, air mineral botol besar dijual dalam anggaran harga RM6 hingga ke RM7 dan sekarang naik sampai RM10.

"Bagi kami yang terdesak perlukan air bersih memang terpaksa membelinya tetapi sampai bila dan bukan semua orang mampu," luahnya dengan nada kecewa.

Tambah Ria lagi, masalah air itu turut mengganggu rutin harian penduduk kampung dan lebih teruk lagi ada dalam kalangan pelajar yang pergi ke sekolah tidak mandi.

"Masalah air ini cukup serius, bayangkan ada anak-anak yang bersekolah tidak mandi dan hanya sekadar memberus gigi serta membilas badan sahaja.

"Dengan cuaca yang panas seperti ini, sudah pasti mereka tidak selesa. Saya rayu pada pihak yang terlibat, bantu kami. Jangan hanya sekadar tunjuk muka bila berkempen pilihan raya sahaja.

"Setakat bagi 'tong biru' yang ada lambang parti tidak akan menyelesaikan masalah," katanya lagi.

WhatsApp Image 2023-05-17 at 13.49.02

Anita Selamat berkata, dia terpaksa bersiap sedia dengan bekalan air yang disimpan di dalam baldi besar dan tangki.

Turut berdepan masalah sama ialah penduduk di Taman Nuri Batu 7, Sandakan.

Anita Selamat, 44, yang tinggal di kawasan tersebut mendakwa, gangguan bekalan air selalunya terjadi sehingga dua hingga tiga kali dalam tempoh seminggu.

Penjawat awam yang sudah menetap di kawasan itu lebih 40 tahun itu berkata, gangguan tersebut berlaku pada bila-bila masa.

Ini menyebabkan dia terpaksa bersiap sedia dengan bekalan air yang disimpan di dalam baldi besar dan tangki.

Masalah kesihatan dan sakit-sakit badan turut dihadapi Anita pada ketika ini ekoran terlalu kerap mengangkat baldi berat yang berisi air.

Katanya, dia mengalami sakit pinggang apabila mengangkut air dari tangki di belakang rumah untuk dibawa masuk ke dalam tandas kediamannya.

“Kalau sehari tak ada air, mungkin saya tak rasa sakit tapi kalau hari-hari ada masalah ini memang boleh jadi penyebab sakit pinggang dan lutut.

“Saya turut hilang mood untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini akibat masalah air.

“Sebab banyak masakan yang perlu disiapkan yang semestinya memerlukan air cukup. Apatah lagi, kebersihan dalam rumah perlu dijaga. Masalah bekalan air ini menyebabkan saya dan keluarga tidak berasa selesa,” jelasnya.

Sebelum ini, Anita berkata, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee sudah mengambil maklum tentang masalah itu, selain membuat aduan kepada badan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

Justeru, dia berharap agar masalah bekalan di daerah itu dapat diselesaikan segera kerana khuathir mampu mengundang pelbagai penyakit kepada rakyat.

“Ini terutamanya masalah air masin. Khidmat air tapisan pun tak mampan kerana masih terasa masin,” dakwanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram