PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat memberi jawapan yang lebih munasabah kepada rakyat terhadap pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia bagi memberi penjelasan tepat dan benar kepada rakyat yang keliru dengan status Azam dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini lantang mengkritik kredibilitinya.
"Pihak yang dulu pembangkang tapi hari ini jadi kerajaan adalah pihak sama melantik beliau (Azam).
"Dulu cakap macam-macam pasal dia sampai nak persoal kredibiltinya.
"Tapi hari ini pihak tersebut melantik semula beliau. Sebab itu jadi isu dan rakyat keliru dengan apa yang berlaku.
"Jadi saya harap PM kalau nak bagi jawapan tu kena bagi jawapan yang munasabah bukan untuk diri dia tetapi kepada orang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Antirasuah (IGAR) di Karangkraf, Shah Alam, Selangor pada Selasa.
Ahli Parlimen Masjid Tanah daripada Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pembangkang memang terkejut dengan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
"Of course kita terkejut dengan sambungan lantikan Azam tapi kita tak bincangkan dengan lebih lanjut," katanya.
Sementara itu, Mas Ermieyati yang juga Timbalan KRPPM-IGAR berkata, kekeliruan yang timbul di peringkat akar umbi menyebabkan ada pertikaian terhadap alasan Perdana Menteri yang kedengaran seolah-olah kurang munasabah.
"Yang dibuat (lantikan semula) itu kita tak boleh nak ubah sebab dah berlaku tapi untuk masa depan dengan adanya reformasi terhadap SPRM serta pembaharuan dalam akta, ada beberapa perkara kita boleh buat lebih baik dari segi soal pelantikan dan soal lain lagilah.
"Sebab itulah tugas saya sebagai yang dipertanggungjawabkan untuk melihat reformasi SPRM ini antara lain membincangkan perkara seperti pelantikan, soal tempoh dan lain-lain," katanya.
Pada Isnin, Anwar dalam sidang media di Putrajaya berkata, perkhidmatan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dilanjutkan kerana beliau tidak memilih puak atau parti dalam menjalankan tugasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram