Kecewa kualiti servis hospital di Jempol, terpaksa tunggu 10 jam rawat jari pekerja terkoyak


  • Tular
  • Rabu, 17 Mei 2023

Amirul Farhan bersama pekerjanya yang cedera terpaksa menunggu lama di hospital tersebut untuk dapatkan rawatan. —Facebook/ Amirul Farhan Ainol

BAGAI jatuh ditimpa tangga, seorang pekerja yang mengalami kecederaan pada jarinya terpaksa menunggu hampir 10 jam untuk dirawat di sebuah hospital di Jempol, Negeri Sembilan pada Isnin.

Perkara tersebut dikongsikan oleh majikannya Amirul Farhan Ainol menerusi satu hantaran di Facebook apabila memaklumkan dia membawa pekerjanya ke hospital tersebut pada pukul 12.30 tengah hari, namun terpaksa menunggu sehingga pukul 9.40 malam.

Dia mendakwa, pekerjanya hanya dipanggil oleh doktor pada 10.45 malam pada Selasa untuk mendapatkan rawatan.

"Bad service! Dari pukul 12.30 tengah hantar staf jari terkoyak sampai pukul 9 malam masih tak panggil-panggil lagi.

"Pukul 10.45 malam baru (doktor) panggil untuk jahit (jari terkoyak). Operation (pembedahan) besar pun tak lama macam ini," katanya pada Selasa.

Mengulas lanjut tentang perkara tersebut, rupanya ramai lagi 'mangsa' yang menerima nasib sama turut berkongsi pengalaman mendapatkan rawatan di hospital tersebut sejak sekian lama.

Salah seorang warganet dengan nama Kodai Acik Janggut berkata, dia pernah membawa adiknya yang cedera akibat terjatuh daripada motosikal untuk mendapatkan rawatan di hospital terbabit.

"Pernah kena, adik jatuh motor, sampai kering luka (sebab tunggu lama).

Akhirnya pergi klinik swasta di situ sahaja, menangis sebab dah sakit sangat," katanya.

Bagi Puteri Nur Ayra Sofea pula, dia yang mempunyai kakak sepupu yang pernah bekerja di hospital terbabit turut mengakui masalah perkhidmatan yang terlampau lambat berlaku di pusat rawatan tersebut.

"Kalau sakit tunggu masa nak mati baru masuk hospital ni, kalau tak, baik pergi hospital lain.

"Akhirnya dia pun minta posting ke hospital lain sebab tak boleh go dengan hospital ini. Dah serupa rumah mayat sahaja," katanya.

Sementara itu, masih belum ada kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau hospital terbabit berhubung dakwaan tersebut setakat ini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram