DEMI membersihkan nama dan maruah diri, seorang lelaki di Kecamatan Ilir Timur II, Palembang, Indonesia sanggup melafazkan sumpah pocong pada Khamis untuk menafikan dirinya merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun pada tahun lalu.
Rian Antoni, 41, melafazkan sumpah tersebut sebanyak tiga kali di hadapan masjid pada pukul 10.30 pagi pada Khamis sambil dirinya dibalut dengan kain kafan seperti jenazah.
Lelaki berkenaan nekad berbuat demikian bagi membuktikan dirinya tidak bersalah, selain menafikan pelbagai tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya di hadapan orang ramai.
"Saya tidak terima saya dituduh melakukan itu, dan ini kali ke duanya saya melakukan sumpah pocong. Di mana sumpah pocong yang pertama dulu di bulan 10 pada 2022.
"Saya itu juga tidak pernah ada selisih faham dengan keluarga mereka itu, normal-normal semua tapi malah mereka menuduh saya seperti ini," katanya pada Khamis.
Sumpah pocong tersebut dilakukan dalam masa 15 minit dan selepas ia selesai, Rian dibawa pulang ke rumahnya.
Insiden tersebut turut mendapat perhatian penduduk di sekitar Palembang yang mengetahui tentang sumpah pocong itu sehari sebelum ia dilakukan.
Disebabkan itu, ramai orang menyaksikan perkara tersebut di masjid di Palembang, Indonesia itu.
Rian sebelum ini pernah melafaz sumpah pocong itu buat pertama kali pada Oktober tahun lalu atas tuduhan sama. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram