'Saya dilayan macam pengganas,' aktivis disyaki hina PM akui rasa terancam diugut jika tak padam hantaran di FB


Zaid (kanan) dan anak guamnya, Halimah (tengah) selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SKMM, Cyberjaya, Selangor pada Khamis.

"SAYA macam dilayan seperti pengganas seolah-olah saya melakukan jenayah yang amat berat."

Demikian respons seorang aktivis dan pempengaruh media sosial, Halimah Nasoha yang dipanggil memberi keterangan ke ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung dakwaan terhadap hantaran-hantaran di akaun Facebook kononnya menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau memaklumkan siasatan dibuat terhadap beberapa hantarannya di Facebook dengan nama akaun Yi Ma Nas kononnya menghina pemimpin negera tersebut yang mengadakan lawatan ke Arab Saudi pada Mac lalu.

Namun begitu, Halimah berkata hantaran-hantarannya tidak ditujukan secara jelas kepada Anwar, apatah lagi menyebut nama beliau.

"Saya tidak pun membuat sebarang kenyataan yang direct atau secara langsung mengenai perdana menteri.

"Bagaimanapun, saya membuat hantaran tersebut atas dasar kritikan dan bukan penghinaan dengan membuat komen yang adil dan sifat berkepentingan awam,” katanya di perkarangan pejabat SKMM, Cyberjaya, Selangor pada Khamis seperti dilaporkan MalaysiaNow.

Dalam pada itu, Halimah turut berkongsi tangkap layar perbualan bersama individu dipercayai timbalan pengarah SKMM yang memintanya untuk memadamkan hantaran-hantaran tersebut pada Mei lalu.

Katanya selain mendakwa diugut oleh individu terbabit yang akan menyerbu pejabatnya, dia akan ke rumah keluarganya jika Halimah tidak hadir ke pejabat agensi tersebut untuk dibicarakan.

Bukan itu sahaja, Halimah turut meluahkan rasa terancam dan takut apabila mendapati kehadirannya ke ibu pejabat SKMM diiringi pegawai polis serta anggota unit cawangan khas (SB) selain individu yang mengugutnya.

Dalam perkembangan lain, peguamnya, Zaid Malek memaklumkan Halimah disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun katanya, jika di pihak perdana menteri kurang senang atau tidak berpuas hati terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh anak guamnya, beliau boleh menggunakan prosedur lebih adil dan mengikut undang-undang.

"Tapi kenapa ada layanan istimewa? Seharusnya PM bukan menggunakan jentera SKMM untuk menyangkal (kenyataan).

“Boleh saman malu atau saman fitnah di mahkamah,” katanya.

Selain itu, Zaid turut mempersoalkan pendirian Kerajaan Madani terutamanya Pakatan Harapan (PH) yang menentang penggunaan akta tersebut semasa di blok pembangkang kini menggunakan akta sama ketika mentadbir negara.

“Kalau benar Kerajaan Madani ini adil dan mahu tegakkan hak asasi manusia, sepatutnya (siasatan) berhenti di sini sehingga betul-betul ada pertuduhan di mahkamah.

“Hentikan siasatan terhadap Halimah dan orang-orang lain juga,” katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram