DUA bulan lalu, bekas pemain penyerang negara, Safee Sali mengumumkan bersara daripada arena bola sepak profesional selepas mencurahkan bakti selama 20 tahun kepada negara.
Walaupun mengakui sukar melepaskan kerjaya yang sebati dengan dirinya sejak berusia 19 tahun, namun bekas pemain penyerang Kuala Lumpur (KL) City FC itu perlu membuat keputusan itu atas faktor fizikalnya yang mungkin tidak sekuat dulu.
Namun tidak sampai tiga bulan daripada tarikh persaraannya, beliau tiba-tiba buat kemunculan baharu apabila mengumumkan baru tamat menyertai kursus Kejurulatihan Diploma AFC/FAM C pada awal Mei lalu.
Lebih menarik lagi, antara yang turut kelihatan menyertai kursus sama ialah pemain penyerang Negeri Sembilan FC (NSFC), Mahali Jasuli.
Malah, hero Harimau Malaya ketika menjulang Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2010 itu dilihat teruja untuk kembali dalam arena bola sepak dengan tugas baharunya bagi melatih pemain-pemain generasi baharu.
Digambarkan sebagai satu 'comeback' terindah, para peminat teruja dengan kembalinya pemain lagenda itu mewarnai industri bola sepak.
Tidak kurang juga ada yang memberikan nasihat kepada Safee untuk mengharungi dunia kejurulatihan dunia bola sepak yang dilihat agak mencabar pada masa ini.
Safee (kiri) dan Mahali. — Facebook/ SafeeSali_10 Official.
Seorang pemerhati bola sepak, Sharin A Rahim memberikan lima nasihat kepada ikon bola sepak itu untuk mendidik anak-anak bangsa dalam arena sukan tersebut.
"Manfaatkan sport science (ISN), guna teknologi dalam sukan sebaiknya, dapatkan sijil luar negara untuk naikkan tahap pendidikan coaching.
"Dapatkan kerjasama dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, the great leader dalam arena bola. Tahniah, good luck," katanya.
Selain itu, Zamri Senai turut berharap kehadiran Safee dalam dunia kejurulatihan bola sepak dapat membentuk acuan baharu demi mendidik pemain dalam alaf ini.
"Nanti belajarlah ilmu kejurulatihan dari ketua jurulatih luar negara. Bosan dengan ilmu kejurulatihan di Malaysia yang lapuk. Lagi bagus masuk kelab Johor Darul Takzim (JDT).
"Dan ramaikanlah bakal bakat pemain-pemain penyerang muda kerana tiada penyerang-penyerang tulen dalam kalangan anak tempatan yang berkualiti tinggi," katanya.
"Sudah sampai masanya jadi coach. Curahkan ilmu semasa jadi player dan coach untuk mencari serta melatih bakat muda terutama local player.
"Yang paling utama ketengahkan local player. Team sekarang ini macam terlalu mengharap naturalisasi player. Moga dipermudahkan urusan kerjaya Safee Sali," ujar panjang Norshah Sham.
Kehadiran Safee mungkin dilihat sebagai sinar baharu dalam dunia kejurulatihan dalam arena bola sepak, atau mungkin terlalu awal untuk berkata demikian.
Apapun, diharap ilmu dan pengalaman beliau dapat menyumbang kepada pembangunan pemain dan pasukan secara amnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram