'Arwah seorang yang lemah lembut, pandai ambil hati pelumba negara'


  • Podium
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Datuk Naim Mohamad meninggal dunia pada pagi Jumaat di Hospital UiTM Puncak Alam.

KEM berbasikal negara pada Jumaat dikejutkan dengan berita pemergian bekas Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad pada Jumaat.

Pastinya ramai yang terkesan dengan pemergian Allahyarham berdasarkan sumbangan dan jasa beliau terhadap dunia sukan berbasikal.

Perkara itu diakui sendiri Ketua Jurulatih Berbasikal Negeri Sarawak, Fairoz Izni Abd Ghani yang berkongsikan tentang keperibadian Allahyarham.

"Saya dengan Allahyarham Datuk Naim kenal daripada Persatuan Berbasikal Negeri melaka. Saya pun ejen berbasikal di negeri Melaka dan kalau tak silap, pada tahun 90-an begitu Allahyarham merupakan timbalan presiden.

"Kebiasaanya (arwah) akan uruskan untuk pasukan kebangsaan dan kebetulan saya memang ada dalam program itu. Kami pasti akan terjumpa sama ada kejohanan yang diadakan di Malaysia atau luar negara," katanya kepada Majoriti ketika menceritakan detik-detik pertemuan dengan Allahyarham.

Di samping itu, Fairoz, 44, berkata, sikap Allahyarham sememangnya perlu dipuji dan dicontohi.

"Sudah pasti dia seorang yang senang berkomunikasi dan tahu cara nak selesaikan masalah berkenaan sukan berbasikal.

"Banyak sumbangan yang dibuat oleh Allahyarham terutamanya idea beliau yang mana berjaya membawa pelumba-pelumba kebangsaan ke luar negara selain menaikkan taraf prestasi di peringkat antarabangsa.

"Arwah seorang yang lemah lembut, pandai ambil hati pelumba negara dan tiada jurang antara senior atau junior, seorang yang rendah diri, kita boleh kongsi masalah dengan beliau," kongsinya.

datuk-naim-mohamad-271017

Allahyarham Naim (kiri) juga seorang yang amat vokal dalam memberikan pandangan.

Sudah pasti banyak kenangan dan sumbangan diberikan oleh Allahyarham dalam sukan berbasikal negara dan pastinya mendapat tempat dalam hati kalangan individu yang pernah bekerja dengannya.

"Seorang pendengar yang baik dan akan bergerak sekali dengan tindakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah tersebut.

"Saya bagi pihak berbasikal negara ingin mengucapkan terima kasih banyak atas jasa baik arwah Datuk Naim kerana telah menaiktaraf dan perjuangan dalam arena berbasikal sama ada di peringkat negeri dan negara. Yang pastinya jasa beliau kami akan kenang.

"Terima kasih Allahyarham Datuk Naim Mohamad atas sumbangan selama ini untuk negara," katanya.

Untuk rekod, Allahyarham Naim memegang jawatan berkenaan selama 10 tahun dan mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan yang disandang dalam PKBM pada Ogos 2016 atas faktor kesihatan yang tidak membenarkannya aktif dalam badan induk sukan berbasikal itu.

Pemergian Allahyarham Naim merupakan satu kehilangan besar buat sukan berbasikal negara terutamanya Allahyarham antara watak utama yang menaikkan nama Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk mencipta sejarah sebagai pemenang pingat gangsa pertama negara dalam acara berbasikal di pentas Olimpik 2016.

Allahyarham berkhidmat sebagai Setiausaha PKBM semasa kepimpinan Tan Sri Darshan Singh pada tahun 1988 dan selepas itu sebagai Timbalan Presiden dengan Datuk Abu Samah Wahab sebagai presiden

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor pada pagi Jumaat dan berita sedih itu diumumkan oleh anaknya, Athirah Naim menerusi hantaran di Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram