'Mak dia muka tak bersalah', anak kembar menangis dikunci dalam kereta di Bangi, rupanya keluarga sedap beraya


  • Tular
  • Isnin, 15 Mei 2023

Kedua-dua anak kembar itu diberikan air kotak selepas ditinggalkan 30 minit dalam kereta berkunci ketika keluarga mereka beraya di rumah terbuka di Bandar Baru Bangi, Selangor pada Ahad.  — Facebook/ Nana Nandos.

MUSIM perayaan Aidilfitri tahun ni kekal meriah walaupun cuaca panas melanda negara pada saat ini.

Namun masih ada ibu bapa, malah keluarga yang cuai hingga sanggup meninggalkan anak kecil dalam kereta dalam tempoh lama tanpa sebarang makanan dan minuman semata-mata untuk pergi beraya.

Salah seorang pengguna Facebook, Nana Nandos berkongsi pengalaman membantu sepasang anak kembar yang ditinggalkan dalam sebuah kereta berkunci ketika keluarga mereka berkunjung ke rumah terbuka di Bandar Baru Bangi, Selangor pada Ahad.

Dia menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan terdengar tangisan kanak-kanak tersebut daripada kereta berkenaan yang enjinnya dimatikan dengan tingkapnya terbuka sedikit.

"Sempat berikan air kotak untuk tenangkan mereka dan tunggu lebih kurang 30 minit untuk parents kembali. Eh, parents dengan atuk nenek sekalilah pergi beraya, cucu (ditinggalkan) dalam kereta.

"Dapatlah angkat tangan sambil tersengih kerang manja dari parents. Mak dia buat bodoh saja, muka tak bersalah," katanya dalam hantaran berkenaan.

Nana Nandos dalam hantaran tersebut turut meluahkan rasa tidak percaya dengan kejadian yang berlaku di depan matanya.

"Raya tu raya juga, tapi anak-anak itu amanah kita.

"Kira bagus aku tak report polis," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram