Remaja tak sangka berita nahas dianggap gurauan sebenarnya tragedi kehilangan ibu dan 4 beradik


  • Massa
  • Rabu, 17 Mei 2023

Ahmad Danish Basyir dan adiknya, Siti Nur Khadijah tidak dapat menahan kesedihan dan ditenangkan ahli keluarga lain.

AHMAD Danish Basyir Nasaruddin,16, tidak menyangka sambutan Aidilfitri tahun ini bersama ibu dan empat adik-beradiknya adalah yang terakhir, apabila lima sekeluarga itu terkorban dalam nahas di Kampar, Perak pagi Selasa.

Malah remaja berusia 16 tahun itu menyangka panggilan daripada ka,kak saudaranya yang memberitahu berita malang itu sebagai gurauan sehinggalah diberitahu oleh guru sekolahnya.

"Pada mulanya saya tidak percaya, ingatkan kakak saudara saya bergurau tetapi apabila guru sekolah saya beritahu, baru saya percaya dan datang ke sini (hospital)," katanya.

Dia yang bersekolah di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh, berkata, kali terakhir bertemu dengan ibunya, Azriyani Abdul Latif serta adik-beradiknya adalah pada cuti sekolah sempena Aidilfitri baru-baru ini.

"Semasa (arwah) ibu menghantar ke asrama semula (selepas cuti persekolahan berakhir), ibu pesan jaga diri di asrama, jangan buat masalah. Itulah kali terakhir saya bertemu dan bercakap dengannya.

"Saya selalu tidur sekali dengan adik bongsu (Ahmad Uwais Qorni) apabila pulang ke rumah, saya memang rapat dengannya," kata anak keempat daripada lapan beradik itu.

Tinjauan Bernama mendapati suasana di Unit Forensik diselubungi suasana pilu apabila Ahmad Danish Basyir dan adiknya, Siti Nur Khadijah, 14, tidak dapat menahan kesedihan dan ditenangkan ahli keluarga lain.

Dua lagi abang remaja itu ialah Muhammad Ilham, 20, dan Ahmad Hazim Zuhdi, 21.

Ketika kejadian, Azriyani, 45, serta empat lagi anaknya, Ahmad Uwais Qorni, 5, Muhammad Fawwaz, 7, Siti Nur Aminah, 8, dan anak sulung, Muhammad Azib, 23, yang memandu kenderaan itu dalam perjalanan dari Kuala Kangsar ke Kampung Changkat Petai, Tapah Road.

Difahamkan, Azriyani pulang ke rumah ibu bapanya untuk membawa bapanya menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tapah pada Selasa namun tidak berkesempatan apabila terkorban dalam kemalangan tersebut.

Lima sekeluarga itu yang menaiki kereta Proton Saga maut apabila kenderaan tersebut hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah treler muatan pasir di KM310. 2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pada 2.42 pagi.

Azriyani dan tiga anaknya maut di tempat kejadian dan mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kampar, manakala seorang lagi anaknya, Muhammad Fawwaz meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tapah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram