[VIDEO] Mid Valley terbakar: TNB kenal pasti punca, sistem pengangkutan KL Sentral tak terjejas


  • Massa
  • Rabu, 17 Mei 2023

Kebakaran di Mid Valley, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.51 pagi pada Rabu. — Twitter/ KLCCC DBKL.

TENAGA Nasional Berhad (TNB) berjaya memulihkan bekalan kepada sebahagian besar pengguna seawal empat minit susulan gangguan yang berlaku pada kejadian kebakaran Pencawang Masuk Utama (PMU) Mid Valley, Kuala Lumpur pada pagi Rabu.

TNB dalam kenyataannya mengesahkan insiden kebakaran di PMU Mid Valley dan langkah segera untuk pemulihan bekalan sepenuhnya berjaya dilakukan sekitar pukul 12.30 tengah hari.

Ketua Pegawai Grid, Ir. Dev Anandan berkata, pemeriksaan TNB mendapati PMU tersebut terpelantik pada pukul 10.27 pagi dan bekalan terputus mulai pukul 10.51 pagi.

"Gangguan bekalan itu melibatkan kawasan terhad sekitar Mid Valley dan sebahagian Desa Pantai.

"Sistem pengangkutan di KL Sentral tidak terjejas kerana menerima punca bekalan yang berbeza.

"TNB mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat atas bantuan memadamkan kebakaran tersebut.

"Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna terlibat,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454.

Sementara itu, pihak Mid Valley Megamall menerusi Facebook mengesahkan kebakaran itu berlaku di bilik pencawang TNB pusat beli-belah itu dan berjaya dikawal oleh Pasukan Tindak Balas Kecemasan.

Pihak pusat beli-belah itu turut mengesahkan setakat pukul 11.38 pagi, tiada kecederaan atau kemalangan dilaporkan oleh JBPM yang kini berada di lapangan menjalankan siasatan dan memastikan keselamatan premis tersebut.

"Mid Valley City akan ditutup sehingga diberitahu kelak. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dan ingin menegaskan semula bahawa keselamatan pembeli dan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan kami,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan lain, syarikat pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) memaklumkan semua tayangan di GSC Mid Valley Megamall akan dibatalkan dan pawagam itu ditutup sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

"Walaupun pawagam kami tidak terkesan secara langsung, kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pengurusan pusat beli-belah untuk memastikan keselamatan semua orang, kami akan mengeluarkan bayaran balik bagi semua tiket yang telah dibeli,” menurut GSC menerusi Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram