Saifuddin perjelas sebab rayuan penggunaan kalimah ALLAH ditarik balik


  • Primer
  • Selasa, 16 Mei 2023

KDN sedang mengkaji dengan teliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac 2021.

TINDAKAN Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penggunaan kalimah "ALLAH" antara lain disebabkan berlaku percanggahan arahan pentadbiran KDN dengan keputusan Kabinet yang dibuat pada tahun 1986.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia melibatkan percanggahan perundangan sivil berkaitan rampasan bahan penerbitan ketika itu dan bukannya isu teologi melibatkan penggunaan kalimah ALLAH SWT.

“Ini kerana fungsi mahkamah itu sendiri tidak sesuai untuk memutuskan perkara berkaitan agama secara khusus.

“Justeru, dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, jelas hakim membuat keputusan berdasarkan pendekatan pentadbiran dan ia didapati konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur vs Menteri Dalam Negeri pada 2014.

“Berhubung perkara ini, keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan rayuan dibuat berdasarkan case-by-case tanpa menjejaskan fakta setiap kes yang sedang dalam tindakan mahkamah," katanya pada Selasa.

Saifuddin Nasution

Sementara itu, Saifuddin turut menjelaskan, kementerian telah memperhalusi dengan teliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 dan mendapati terdapat percanggahan dalam arahan pentadbiran yang menyebabkan keputusan memihak kepada Jill Ireland.

Justeru, kementeriannya sedang mengkaji dan mengemas kini arahan pentadbiran yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah ALLAH SWT dalam penerbitan.

“Sementara proses permohonan rayuan sedang berjalan, KDN juga mengkaji dengan teliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac 2021, yang mendapati terdapat percanggahan antara keputusan yang dibuat oleh Kabinet pada 19 Mei 1986, dan Arahan Pentadbiran yang dikeluarkan oleh Kementerian pada 5 Dis 1986.

“Justeru, KDN mengambil langkah menyemak dan mengemaskini arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah ‘ALLAH’, ‘Baitullah’, ‘Solat’, dan ‘Kaabah’ agar selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia serta penyeliaan dan kawalan yang lebih berkesan terhadap bahan penerbitan yang melanggar peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” tambahnya.

Kata beliau, kementerian komited untuk mempertahankan dan melindungi kepentingan agama Islam, orang Melayu dan Institusi Diraja di Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pendirian KDN adalah menghormati, memperakui dan menerima pakai enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa ketika ini berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH SWT.

“Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa walaupun setiap individu mempunyai hak untuk menganuti dan mengamalkan agama mereka, mereka masih tertakluk kepada undang-undang persekutuan dan negeri yang boleh mengawal atau menyekat perkembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan umat Islam,” jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram