Hanya penganut Kristian di Sarawak dibenarkan guna kalimah 'ALLAH'


  • Primer
  • Selasa, 16 Mei 2023

Keputusan mahkamah yang memihak kepada Sarawak adalah hak prerogatif negeri itu. — Gambar hiasan

PENGGUNAAN kalimah 'ALLAH' hanya dibenarkan untuk penganut beragama Kristian di Sarawak, bukan negeri-negeri lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, perkara itu telah pun dijelaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Selasa.

“Kita mesti faham Sarawak dulu tidak terikat dengan keputusan-keputusan negeri, ia tidak boleh terpakai di Melaka, Pulau Pinang atau Selangor.

"Mahkamah telah memutuskan (memihak kepada Sarawak) dan kita perlu faham bahawa ia adalah hak prerogatif negeri itu," katanya pada Selasa.

PUTRAJAYA, 15 Mei -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media selepas mempengerusikan Pasca Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil 1/2023 di Bangunan Perdana Putra hari ini. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARAPUTRAJAYA, May 15 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim held a press conference after chairing the post-meeting of the National Economic Action Council (MTEN) Bil 1/2023 at the Perdana Putra building today.--fotoBERNAMA (2023) COPYRIGHT RESERVED

Anwar

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut bukan Islam menggunakan kalimah 'ALLAH' dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Saifuddin berkata, ini adalah pendirian kementerian dan beliau telah memaklumkan serta membentangkan perkara itu kepada Kabinet.

Rayuan itu pada mulanya dijadualkan untuk pengurusan kes pada 19 Mei depan tetapi ia tidak lagi akan dibawa ke mahkamah kerana kerajaan telah membatalkan keseluruhan rayuannya pada 18 April lalu.

Tindakan itu akan menamatkan saga perundangan selama 15 tahun yang bermula apabila kerajaan merampas lapan keping cakera padat (CD) berunsur pendidikan milik seorang individu Bumiputera Sarawak yang mengandungi kalimah 'ALLAH'.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi membuat keputusan memihak kepada penganut Kristian Sarawak dari suku Melanau, Jill Ireland Lawrence Bill, dengan memberikan tiga daripada perintah mahkamah yang dia minta.

Ini termasuk pengisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa arahan kerajaan yang dikeluarkan oleh bahagian kawalan penerbitan KDN melalui pekeliling bertarikh 5 Disember 1986 adalah 'melanggar undang-undang dan tidak berperlembagaan'.

Pada 12 Mac 2021, kerajaan Malaysia dan Menteri Dalam Negeri memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram