Netizen berbalah songkok kain Kaabah RM7,000, mufti kata haram dipakai


  • Massa
  • Khamis, 06 Apr 2023

Songkok mengandungi tulisan kalimah ALLAH dan Rasulullah SAW dijual dalam kuantiti terhad secara dalam talian di platfrom e-dagang. — Facebook/RacunShopeeMalaysiaOfficial

KETIKA mana ramai umat Islam sedang membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidil Fitri, warganet tiba-tiba dikejutkan dengan jualan songkok yang diperbuat daripada kiswah iaitu kain penutup Kaabah dari Mekah.

Lebih menarik lagi, songkok yang mengandungi tulisan kalimah ALLAH dan Rasulullah SAW dijual dalam kuantiti terhad pada harga RM7,000 dan boleh didapatkan secara dalam talian di platfrom e-dagang.

Bagaimanapun, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan hukum menulis ayat-ayat suci pada pakaian atau memakai pakaian tersebut adalah haram mengikut pandangan ulama untuk memelihara kesuciannya daripada dihina atau dicemari.

Walaupun begitu, beliau berkata, tiada nas daripada ayat al-Quran atau hadis yang melarang kain kiswah tersebut dijual kerana ia bergantung kepada kehendak pembeli berdasarkan hukum transaksi iaitu permintaan dan tawaran.

"Sebolehnya elakkan menjual pakaian yang ada tertulis padanya ayat al-Quran.

"Jika nak habiskan jualan, maka pengguna hendaklah diingatkan supaya sentiasa memelihara kesuciannya dengan tidak jangan meletak barangan tersebut di tempat-tempat yang kotor atau tidak sesuai," katanya kepada Majoriti.

Penang mufti Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

Sementara itu, warganet terus berdebat tentang pemakaian songkok berkenaan kerana ia mengandungi kalimah ALLAH dan nama Nabi Muhammad SAW, selain mempertikaikan harganya yang tidak masuk akal.

"Penuh tulisan kalimah (ALLAH dan Rasulullah SAW), tidak boleh bawa masuk tandas. Letak luar kena rembat," kata محمد فيروذ.

"Ada tulisan ALLAH, hati-hati pakai takut termasuk dalam tandas," kata Nora Kuainie. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram