Cuaca panas: Hati-hati kehadiran ular, biawak ‘pecah masuk’ rumah


  • Massa
  • Rabu, 17 Mei 2023

Pihak APM kini menangkap kira-kira tiga hingga enam ekor ular sehari.

KES melibatkan haiwan seperti ular dan biawak menceroboh ke dalam kediaman meningkat sebanyak dua kali ganda sejak Januari hingga April tahun ini berbanding tahun lalu dalam tempoh sama.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, sebanyak 427 kes melibatkan ular dilaporkan ditemui dalam rumah setakat April lalu berbanding 238 kes pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, sejumlah 73 kes pula melibatkan biawak dilaporkan dalam tempoh sama berbanding 47 kes tahun lalu.

Katanya, reptilia tersebut biasanya ditemui menceroboh kawasan rumah di bahagian garaj, parkir kereta, lubang saliran, tandas dan sebagainya.

"Kebanyakan haiwan tersebut turut ditemui di dapur, contohnya ular yang bersembunyi di belakang peti, atau almari. Malah ada yang melingkar dalam mesin basuh pakaian.

"Biawak pula berpotensi untuk masuk ke dalam rumah dan bersembunyi dalam dapur atau saliran di belakang rumah," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Timur Laut, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata, pihaknya setakat ini berjaya menangkap tiga hingga enam ekor ular sehari.

Katanya, jumlah tersebut hanya dalam kawasan seliaannya dan mendakwa ia mungkin lebih lagi di lokasi lain.

"Biasanya ular bersembunyi di tempat gelap seperti garaj, parkir kereta atau saliran dalam rumah dan bukan di dalam rumah kerana ia terlalu terang untuk mereka.

"Ular tidak semestinya mencari tempat berlindung ketika cuaca panas semata-mata kerana kami turut menangkapnya semasa musim hujan," katanya.

Tambahnya, Pulau Pinang mempunyai jumlah populasi ular yang tinggi dan selalunya mereka akan keluar daripada sungai atau parit yang besar.

Oleh itu katanya, kawasan rumah dan sekolah berdekatan sungai atau parit selalunya terdedah dengan pencerobohan haiwan berkenaan.

"Kami turut menerima panggilan tentang (pencerobohan) biawak, namun tidak sebanyak (kes) ular," katanya.The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram