SEORANG wanita bertindak menunjukkan isyarat jelik kepada seorang pemandu kereta apabila dia dan pasangannya tidak dapat melintas jalan berhadapan Plaza Sungei Wang, Kuala Lumpur pada pagi Ahad.
Kejadian tersebut dirakam menggunakan kamera papan pemuka (dashcam) pada kira-kira pukul 11.33 pagi pada Ahad dan dimuat naik oleh pengguna Facebook, Motoko Moriguchi.
Video berdurasi tujuh saat itu memaparkan kereta tersebut sedang melalui jalan di bawah jejambat berhadapan di seberang Plaza Sungei Wang sebelum muncul pasangan itu ingin melintas jalan tersebut.
Kedua-dua pasangan dan kereta masing-masing berhenti, namun mereka membatalkan hasrat untuk melintas jalan dan wanita tersebut menunjukkan isyarat lucah kepada pemandu tersebut.
Sementara itu, Motoko Moriguchi menerusi hantaran sama turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pasangan berkenaan yang tidak menggunakan lintasan pejalan kaki atau jejambat yang berada tidak jauh daripada mereka.
"Sepatutnya mereka perlu gunakan lintasan pejalan kaki atau jejambat yang berada di atas kepala mereka untuk melintas jalan.
"Kami berhenti untuk mereka, tapi wanita tersebut dilihat tidak gembira dan menunjukkan jari tengah. Bagus betul tahap pendidikan dia," katanya pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram