Tiada alasan benarkan keganasan fizikal, mental terhadap kanak-kanak, tegas Che Puan Besar Khaleeda


  • Primer
  • Selasa, 16 Mei 2023

Masyarakat perlu bersama-sama melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk penderaan dan memberikan mereka masa depan yang lebih baik dan cerah.

KANAK-kanak merupakan aset terbesar negara dan perlu dilindungi daripada sebarang ancaman yang boleh membahayakan keselamatan serta kesejahteraan mereka.

Justeru, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam menegaskan, tiada alasan untuk membenarkan keganasan fizikal atau mental terhadap mana-mana kanak-kanak.

Isteri Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu bertitah, jenayah berkenaan harus ditangani menerusi segala kaedah mengikut undang-undang serta penguatkuasaan yang ditetapkan.

"Sebagai komuniti yang prihatin, masyarakat perlu bersama-sama melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk penderaan dan memberikan mereka masa depan yang lebih baik dan cerah.

"Saya mengambil maklum tentang kes penderaan dua orang kanak-kanak membabitkan seorang pengasuh di Skudai, Johor Bahru.

"Saya hargai usaha anda semua yang berkongsi video penderaan itu di media sosial sehingga sampai ke perhatian saya.

"Berulang kali saya tegaskan bahawa penderaan kanak-kanak merupakan satu jenayah berat yang perlu diambil serius oleh semua pihak," titahnya menerusi hantaran di Instagram pada Selasa.

Che Puan Besar Khaleeda Bustamam

Che Puan Besar Khaleeda

Pada Isnin, tular dua video yang memaparkan seorang wanita berusia 21 tahun dipercayai pengasuh di sebuah taska di Mutiara Rini, Skudai, Johor Bahru mendera seorang bayi.

Dalam video tersebut, wanita berusia 21 tahun terbabit yang juga suspek utama dilihat menjerit, meludah dan memukul bayi berkenaan.

Suspek kini direman selama empat hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan dan perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret R. Salini di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menutup serta-merta operasi taska tersebut selepas disahkan tidak mempunyai lesen untuk beroperasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram