Kes dera 2 bayi di taska Johor Bahru, pengasuh muda sudah kena cekup


  • 112
  • Selasa, 16 Mei 2023

Suspek (tengah) kini direman sehingga Sabtu kerana disyaki mendera dua bayi di sebuah taska dekat Mutiara Rini, Johor Bahru, Johor.

WANITA muda yang merupakan seorang pengasuh kini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes mendera dua bayi di sebuah taska di Mutiara Rini, Johor Bahru, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, wanita berusia 21 tahun itu ditahan di Bandar Selesa Jaya, Skudai pukul 2 pagi Selasa.

"Video kelakuan wanita terbabit terhadap bayi perempuan berusia 11 bulan dan bayi lelaki berusia sembilan bulan kini tular di media sosial," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, tular dua video di aplikasi WhatsApp yang menunjukkan seorang wanita mengasari badan seorang bayi yang sedang menangis.

Dalam video tersebut, wanita terbabit yang juga suspek utama dilihat menjerit, meludah dan memukul bayi berkenaan.

Suspek kini direman selama empat hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan dan perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret R. Salini di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa.

Kamarul Zaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum maksimum 10 tahun penjara, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu dikehendaki tampil ke bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Daerah Iskandar Puteri, Johor Bahru bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

dera, taska, Rahmat Ariffin, bayi, Mutiara Rini,