Kes dera bayi: Disahkan tidak ada lesen, JKM tutup operasi taska di Mutiara Rini, Skudai serta-merta


  • Primer
  • Selasa, 16 Mei 2023

Ibu bapa dinasihatkan supaya menyemak sendiri dengan JKM sama ada sesebuah taska mempunyai lesen atau tidak. — Gambar hiasan

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menutup serta-merta operasi sebuah taska yang dipercayai terlibat dalam kes mengasari dua bayi di Mutiara Rini, Skudai, Johor Bahru selepas disahkan tidak mempunyai lesen untuk beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata, cawangan taska itu iaitu di Jalan Abd Samad dan Gelang Patah juga ditutup.

Beliau yang meninjau taska berkenaan pada pagi Selasa turut bertemu dengan pengusaha taska dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.

"Saya dapati taska berkenaan masih belum mendapatkan lesen daripada JKM kerana belum mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan bomba.

"Kalau belum dapat kebenaran daripada ketiga-tiga pihak ini, JKM memang tidak boleh keluarkan lesen. Sebelum ini pun kita dah nasihat supaya tidak beroperasi tanpa lesen tapi pengusaha berdegil dan tetap beroperasi juga.

"Justeru, ketiga-tiga rangkaian taska berkenaan ditutup serta-merta oleh JKM negeri di bawah Seksyen 20a Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984,” katanya.

Khairin-Nisa memaklumkan, jik sabit kesalahan, pengusaha tersebut boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pengusaha dipercayai telah memohon lesen awal tahun ini dan telah beroperasi secara haram selama tiga hingga empat bulan ini," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya menyemak sendiri dengan JKM sama ada sesebuah taska mempunyai lesen atau tidak.

Terdahulu, tular dua video menunjukkan pengasuh di sebuah taska mengasari bayi dan susulan itu, seorang wanita dipercayai pengasuh terbabit direman selama empat hari mulai hari ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram