KRPPM-IGAR optimis bawa perubahan besar, bentuk dasar antirasuah


  • Massa
  • Selasa, 16 Mei 2023

Barisan ahli KRPPM-IGAR ketika sidang media di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

KUMPULAN Rentas Parti Parlimen Malaysia Integriti, Governans dan Antirasuah (KRPPM-IGAR) percaya pihaknya berupaya membawa perubahan besar kepada sejarah perundangan negara dalam pembentukan dasar antirasuah di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KRPPM-IGAR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, sebagai entiti yang disertai ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan, pihaknya mahu terlibat secara kolektif dalam menggubal serta memperkasa polisi dan dasar berkaitan antirasuah dan tadbir urus negara.

"Saya harap ini akan menjadi satu perkara bersejarah dalam negara kita yang mana kumpulan rentas parti membawa perubahan besar dan bukan jemaah menteri," katanya ketika sidang media KRPPM-IGAR di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Pengerusi KRPPM-IGAR, Datuk Mas Ermieyati yang mewakili blok pembangkang.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim juga percaya pihaknya ada satu laluan yang sangat baik untuk membuat perubahan positif dalam pembentukan dasar antirasuah termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

"Saya mewakili kerajaan dan Timbalan Pengerusi daripada pembangkang nampak dalam hal ini kita ada laluan yang sangat baik untuk melakukan perubahan.

"Malah komitmen itu jelas dibuktikan oleh Perdana Menteri yang mahu ada satu jaminan ia dapat direalisasikan. Insya-ALLAH kita akan bekerjasama dan cari jalan.

"Tapi kita akan ikut proses yang betul dan saluran yang betul selain harap ia dapat berlaku (jadi kenyataan dalam masa terdekat)," katanya.

Katanya lagi, di Parlimen bukan sahaja ada kumpulan rentas parti tetapi ada jawatankuasa pilihan khas yang memiliki pengkhususan berkenaan dengan hak asasi dan penyelewengan serta rasuah.

"Jadi ia juga boleh berperanan baik dalam memastikan apa yang dibincangkan hari ini berkaitan perkara perundangan dapat direalisasikan.

"Saya penuh yakin sebab kalau misalnya perkara ini didokongi daripada peringkat tertinggi daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, jemaah menteri dan wakil rakyat selain disertai suara rakyat, sudah tentu ia mesti didengari," jelasnya.

Menurutnya lagi, ia mungkin tidak akan mengambil masa lama kerana Akta Perlindungan Pemberi Maklumat misalnya akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.

"It is already on the table... berkaitan dengan Ombudsman juga akan dibentangkan dalam Parlimen yang maknanya perkara ini sedang berjalan cuma perlukan dorongan atau motivasi supaya dapat jadi kenyataan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram