Cuaca panas: Kerajaan sedia isytihar darurat, bukan masa terdekat


  • Primer
  • Selasa, 16 Mei 2023

Kerajaan bersedia untuk mengisytihar darurat cuaca panas sekiranya keadaan memerlukan. — Gambar hiasan

TIADA rancangan segera untuk mengisytiharkan darurat walaupun cuaca ketika ini sangat panas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun bersedia berbuat demikian jika keadaan memerlukan.

“Kami telah melaksanakan langkah proaktif dan pencegahan untuk menghadapi gelombang panas.

“Buat masa ini, kami tidak fikir ada keperluan untuk darurat diisytiharkan. Tetapi jika perlu, kami akan mengeluarkan Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara untuk panggilan darurat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan pada Selasa.

Penjelasan itu dibuat selepas beliau ditanya mengenai kenyatan yang dibuat oleh Gabungan Kecemasan Iklim Malaysia, yang mahu kerajaan menganggap suhu tinggi semasa sebagai impak kecemasan iklim.

Gabungan itu juga mahu kerajaan membuat pelan tindakan gelombang haba dan menjalankan penilaian dalam usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Ahmad Zahid berkata, keadaan cuaca semasa akan berlarutan sehingga September dan suhu dijangka mencecah melebihi 40°C pada Ogos.

Ditanya sama ada darurat akan diisytiharkan ketika itu, beliau berkata, pihak berkuasa sedang memantau keadaan.

“Sekiranya ada kecemasan, kami akan mengumumkannya sewajarnya. Buat masa ini, belum lagi,” katanya lagi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram