UM kekal universiti terunggul negara


  • Massa
  • Isnin, 15 Mei 2023

UM berada tempat pertama dalam kalangan sembilan universiti Malaysia yang disenaraikan Global 2000 edisi 2023 oleh Pusat Kedudukan Universiti Dunia (CWUR).

UNIVERSITI Malaya (UM) mengekalkan kedudukannya sebagai universiti nombor satu di dalam negara.

Ia berada tempat pertama dalam kalangan sembilan universiti di Malaysia yang disenaraikan Global 2000 edisi 2023 oleh Pusat Kedudukan Universiti Dunia (CWUR).

Berada di kedudukan ke-80 di Asia, UM diletakkan di tangga ke-388 di peringkat global, iaitu naik tiga anak tangga daripada tempatnya tahun lepas, menjadikannya antara 1.9 peratus universiti terbaik di seluruh dunia.

Pada Mac, UM muncul sebagai institusi pendidikan terbaik di Malaysia secara keseluruhan dalam Kedudukan Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) Mengikut Subjek pada 2023, dengan 36 mata pelajaran disenaraikan termasuk 15 dalam 100 teratas dunia.

Kedudukan global CWUR tahun ini menyaksikan dua pertiga daripada universiti Malaysia muncul dalam carta berkenaan, dengan enam daripada sembilan universiti menunjukkan peningkatan dalam kedudukannya.

Selain UM, institusi yang menunjukkan penambahbaikan dalam kedudukannya ialah Universiti Kebangsaan Malaysia yang menghuni tempat ke 833, Universiti Teknologi Malaysia (840), Universiti Teknologi Mara (1,584), Universiti Teknologi PETRONAS (1,755) and Universiti Malaysia Pahang (1,981).

Tiga lagi universiti Malaysia yang berjaya menduduki carta itu ialah Universiti Putra Malaysia (785), Universiti Sains Malaysia (794) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1,546).

Faktor utama kebangkitan universiti Malaysia adalah peningkatan dalam prestasi penyelidikannya.

Presiden CWUR, Dr Nadim Mahassen berkata, walaupun ia adalah perkembangan positif untuk melihat Malaysia meraih peningkatan dalam pencapaiannya, pembiayaan untuk menggalakkan lagi pembangunan dan reputasi sistem pendidikan tinggi Malaysia adalah penting jika negara berhasrat menjadi lebih berdaya saing di peringkat global.

"Usaha mesti dibuat untuk memastikan Malaysia menarik ahli akademik dan pelajar terbaik.

"Peningkatan bilangan pendaftaran di universiti juga perlu seiring dengan pertambahan dalam kapasiti pengajaran manakala perbelanjaan pendidikan tinggi pula mesti ditingkatkan dalam peratusan KDNK negara untuk tahun akan datang," katanya.

Senarai Global 2000 CWUR ialah satu-satunya carta prestasi yang mengukur kualiti pendidikan universiti, fakulti, kebolehpasaran dan penyelidikan tanpa bergantung pada tinjauan serta penyerahan data universiti.

Untuk edisi tahun ini, CWUR menganalisis 62 juta data berasaskan hasil untuk menentukan kedudukan universiti dari seluruh dunia.

Sebanyak 20,531 universiti disenaraikan, dan mereka yang diletakkan di tempat teratas diletakkan dalam senarai Global 2000 yang merangkumi institusi dari 95 negara.

Untuk tahun ke-12 berturut-turut, Harvard adalah universiti terbaik di dunia. Ia diikuti dua institusi swasta lain di Amerika Syarikat iaitu Institut Teknologi Massachusetts dan Universiti Stanford.

Universiti Cambridge dan Universiti Oxford di United Kingdom, yang masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima, adalah institusi pengajian tinggi awam terkemuka dunia.

Lima universiti terbaik di Asia tahun ini ialah Universiti Tokyo, Universiti Kyoto, Universiti Kebangsaan Seoul, Universiti Tsinghua dan Universiti Peking.

Kesemua 10 universiti ini mengekalkan tempat yang mereka raih pada tahun sebelumnya.

Berpusat di Emiriah Arab Bersatu, CWUR ialah organisasi perunding yang menyediakan nasihat dasar, pandangan strategik dan perkhidmatan perundingan kepada kerajaan dan universiti untuk meningkatkan hasil pendidikan dan penyelidikan.

Kedudukan penuh tersebut dikeluarkan pada Isnin dan ia boleh didapati di https://cwur.org/2023.php. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram