KPT kaji pendekkan tempoh pengajian universiti awam


  • Primer
  • Sabtu, 25 Feb 2023

Sekitar pemandangan bangunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) sedang mencari jalan untuk mengurangkan beban pelajar, termasuk dengan memperkenalkan kursus fleksibel dan memendekkan tempoh pengajian bagi program tertentu di universiti awam.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu akan membolehkan pelajar menjalani pengajian di rumah selama dua tahun, sebelum menamatkan baki kursus mereka secara fizikal di universiti.

"Ini membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar kerana mereka akan tinggal di rumah, berbanding terpaksa tinggal di asrama di kampus.

"Kementerian juga sedang mempertimbangkan untuk memendekkan tempoh kursus tertentu daripada empat tahun kepada tiga tahun. Kami masih mengkaji perkara itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan dana biasiswa RM75 juta oleh sebuah universiti tempatan di Johor Bahru, Johor pada Sabtu.

Beliau menambah, kementerian juga akan melihat untuk menambah baik yuran pengajian bagi kursus-kursus yang akan mengurangkan penggunaan kemudahan universiti.

Bercakap mengenai pengumuman Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, Mohamed Khaled berkata, RM15.3 bilion yang diperuntukkan kepada kementeriannya adalah lebih tinggi berbanding bajet tahun lepas sebanyak RM14.5 bilion.

Ini termasuk RM428 juta untuk penyelidikan dan pembangunan merentas kementerian dan disiplin yang akan membantu negara menghadapi cabaran semasa dan akan datang, tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram