Universiti Keusahawanan Koperasi tawar 5 program libatkan 300 pelajar kumpulan pertama bermula Mei ini


  • Massa
  • Sabtu, 01 Apr 2023

UKKM akan menggunakan bangunan IKMa, di Jalan Templer, Kuala Lumpur sebagai kampus sementara. —IKMa

UNIVERSITI Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) akan memulakan operasinya di kampus sementara di bangunan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang terletak di Jalan Templer, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor berkata, kebenaran operasi institusi pengajian tersebut sudah diluluskan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) pada 29 Mac lalu.

Menurut beliau, pengambilan pertama universiti bertaraf swasta itu akan melibatkan 300 pelajar terdiri daripada peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana.

Katanya, kemasukan terawal dijangka bermula pada Mei ini membabitkan 30 pelajar peringkat sarjana.

"Untuk pelajar ijazah dan diploma pula, kita jangka mula masuk pada bulan September tahun ini," katanya kepada Majoriti.

Menurut beliau, terdapat lima program pengajian yang mendapat pengiktirafan akreditasi sementara oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bakal ditawarkan UKKM.

Ia membabitkan program Pengurusan Koperasi bagi peringkat diploma dan ijazah sarjana muda, Pentadbiran Koperasi (diploma dan ijazah sarjana muda) serta Pengurusan Koperasi (Sarjana).

Ikma 1

Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor. — Facebook/IKMa

"Pengambilan pelajar terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Seperti biasa, untuk diploma kita akan ambil pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ijazah sarjana muda pula membabitkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau sijil berkaitan.

"Bagi calon sarjana pula, pengambilan membabitkan pelajar yang mempunyai pengalaman dalam bidang berkaitan," ujarnya

Mohd Ali memaklumkan, pengajian di universiti tersebut akan melibatkan 82 tenaga pengajar separuh masa dan lima profesor yang sudah dilantik untuk mengajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi itu.

Katanya, UKKM diwujudkan dengan matlamat untuk meningkatkan lagi pengurusan koperasi dan seterusnya menyokong perkembangannya dalam ekonomi negara melalui penghasilan tenaga kerja yang kompeten dan profesional.

Pada 18 Februari lalu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick memaklumkan pendapatan daripada 14,975 koperasi di dalam negara kini mencecah RM22.4 bilion.

Dalam pada itu, untuk memastikan kebolehpasaran bakal graduannya, Mohd Ali berkata, UKKM turut bekerjasama dengan 100 koperasi terbaik negara daripada segi penajaan, penempatan latihan industri dan pekerjaan.

koop

Pendapatan daripada 14,975 koperasi di dalam negara yang meliputi pelbagai industri kini mencecah RM22.4 bilion. — Bernama

Pada masa sama, beliau berkata, UKKM mempunyai perancangan untuk berpindah ke kampus tetapnya yang terletak di Cyberjaya, Selangor dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Akhirnya nanti, bila kita beroperasi di kampus tetap, secara keseluruhannya kita akan mempunyai kira-kira 2,000 pelajar termasuk pelajar doktor falsafah (PHD)," ujarnya.

Mohd Ali berkata, platfrom bagi pengambilan pelajar bagi peringkat ijazah dan sarjana muda untuk kemasukan pada September tahun ini akan diumumkan pada Mei depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram