PERILAKU seorang lelaki dipercayai anggota unit beruniform yang merokok di sebuah restoran di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor pada Selasa mengganggu pelanggan yang sedang menikmati hidangan di premis berkenaan.
Kelakuan tersebut dirakam dan dimuat naik oleh pengguna Facebook dengan nama Siti Maisarah di media sosial pada Selasa memaparkan lelaki tersebut tanpa segan silu berbuat demikian di kawasan terbuka di premis tersebut.
Dia menerusi hantaran sama berang dengan individu berkenaan yang didakwa penjawat awam dilihat tidak mematuhi larangan merokok dan menghisap vape yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Tapi tu lah sebab dia tau takkan ada siapa nak tegur dia kan. Kalau tegur pun apa kita boleh buat? Apa saja tindakan kerajaan kan?
"Peraturan dah ada, pelaksanaan tu lemah. Sekali pegawai badan kerajaan pun hisap rokok sekali. Memalukan. Sakit hati je tengok. Nak makan terus rasa tak lapar," katanya dalam hantaran tersebut pada Selasa.
Dia juga meminta agar pihak berkaitan menyiasat individu tersebut yang mengambil sikap acuh tak acuh dengan pelaksanaan larangan menghisap rokok dan vape di restoran dan premis makanan.
Dalam pada itu, warganet lain turut mengeluarkan pendapat sama tentang kelakuan individu terbabit yang tidak menghiraukan orang sekelilingnya ketika merokok di restoran.
"Tak kan nak tunggu kena tegur baru nak ubah sikap kan. Sesetengah orang ini memang jenis tak makan saman.
"Lagi tegur lagi dia melenting. Tak nak kena viral jangan buat hal yang bukan-bukan," kata Nurul Ikma Md Ali.
"Yang merokok, bangun keluarlah sekejap dari kedai untuk merokok. Lepas tu masuk balik. Bukan susah," tegur Harith Baharudin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram