RATA-RATA pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) menyarankan ibu bapa untuk menyediakan bekal air minuman kepada anak mereka bagi mengelakkan dehidrasi semasa cuaca panas yang melanda negara pada ketika ini.
Tinjauan Majoriti di beberapa buah taska di Selangor mendapati cuaca panas tidak mengganggu operasi pusat jagaan kanak-kanak tersebut, malah tiada pengurangan signifikan dari segi jumlah mereka ditempatkan di premis berkenaan.
Salah seorang pengusaha taska di Semenyih, Norkamila Ahmad berkata, segala aktiviti di premisnya dijalankan di dalam bangunan, malah kegiatan seperti lawatan turut ditangguhkan buat masa ini.
Menurutnya, ibu bapa turut diingatkan untuk sentiasa memantau kesihatan anak-anak dengan lebih dekat sekiranya mereka berada dalam keadaan yang kurang sihat seperti sakit kepala dan sebagainya.
"Saya juga minta guru-guru untuk sentiasa ingatkan anak-anak murid untuk minum air setiap 30 minit hingga sejam.
"Saya juga memesan ibu bapa untuk membekalkan air minuman kepada anak-anak mereka sebelum ke taska," katanya kepada Majoriti.
Bagi pengusaha taska di Shah Alam, Siti Laili Suhaila Mohamed Zainal pula, walaupun operasi premisnya berjalan seperti biasa, namun ada beberapa kanak-kanak jagaannya mula menunjukkan kesihatan yang kurang baik akibat cuaca panas sejak kebelakangan ini.
Oleh itu, dia menasihatkan ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut untuk menjaga anak mereka di rumah buat sementara waktu kerana bimbang mempunyai simptom strok haba.
Aktiviti kanak-kanak di sebuah taska di Shah Alam, Selangor dijalankan secara 'indoor', malah kesihatan mereka turut dipantau.
"Walaupun kita menggunakan pendingin hawa dalam taska, tapi mereka (kanak-kanak) tetap terkesan dengan cuaca panas di luar.
"Disebabkan kita tidak tahu sejauh mana kesannya terhadap mereka, jadi sekarang segala aktiviti berkumpul dihadkan dan mereka hanya makan di dalam kelas masing-masing," katanya.
Pengusaha taska lain, Halwanie Mohamed berkata, selain menasihatkan anak-anak untuk minum air dengan kerap, pihaknya turut meningkatkan penggunaan pendingin hawa hingga enam jam sehari berbanding tiga jam sebelum ini.
"Sebelum ini, kita hidupkan pendingin hawa pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, pukul 1 hingga pukul 3 dan buka semula pada jam 5 petang.
"Tapi sekarang kita awalkan (guna pendingin hawa) pada pukul 9 pagi dengan tempoh lebih lama dan dibuka hampir sepanjang hari," katanya yang mengendalikan hampir 50 kanak-kanak di premisnya di Petaling Jaya.
Media sebelum ini melaporkan kes kematian seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di Kelantan pada hujung April dan budak lelaki bernama Airiel Syahren, 12 yang meninggal dunia akibat strok haba di Kluang, Johor pada awal Mei lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram