PERILAKU jijik seorang lelaki warga asing yang membuang air kecil di tempat mengambik wuduk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, Johor mengundang padah apabila dia ditangkap polis pada Selasa.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 69 tahun tersebut ditahan sejurus kejadian selepas mendapat laporan pada pukul 4.36 petang pada Selasa.
"Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod lampau dan saringan air kencing negatif," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, permohonan reman akan dibuat pada Rabu di Mahkamah Johor Bahru dan kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Katanya, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Justeru, beliau berkata, orang ramai dinasihati untuk tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan suasana kurang baik dan mengganggu-gugat ketenteraman awam.
Terdahulu, sebuah video berdurasi 10 saat tular memamparkan seorang lelaki berdiri di tempat mengambil wuduk dipercayai sedang membuang air kecil sebelum ditegur seorang lelaki lain tentang perbuatannya.
Majoriti sebelum ini pernah melaporkan kes tular seorang wanita membuang air kecil di salah kaunter tertutup di lokasi sama pada Khamis lalu.
Melalui video tular yang dimuat naik oleh seorang pengguna menerusi TikTok KucengLattah pada Rabu memaparkan seorang wanita memakai pelitup muka dipercayai warga Singapura dalam mencangkung untuk membuang air kecil.
Namun hasratnya itu tidak kesampaian selepas seorang lelaki menjerit ke arahnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram