Bicara 1MDB tangguh, Najib cuti sakit 2 hari


Najib yang berada dalam keadaan letih, lesu dan dehidrasi dirujuk ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut.

PERBICARAAN Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan selama dua hari selepas beliau jatuh sakit dan diberikan cuti sakit (MC).

Mahkamah Tinggi terpaksa menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya berlangsung minggu ini kepada Khamis (11 Mei).

Pegawai perubatan Penjara Kajang, Dr Mohd Hafiz Mohd Hoshni memberitahu mahkamah beliau dimaklumkan mengenai keadaan Najib pada pukul 7.15 pagi Selasa.

Semasa disoal siasat oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib, Dr Mohd Hafiz berkata, dia berjumpa Najib, yang mengadu sakit perut dan loya serta terpaksa ke tandas empat kali.

“Saya memberinya sedikit ubat tetapi keadaannya kekal sama selepas 10 minit.

“Saya membuat pemeriksaan dan mendapati dia kekurangan air dan mengalami demam ringan pada suhu 37.8°C,” katanya.

Tambah doktor, Najib kelihatan letih, lesu dan dehidrasi kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 9.30 pagi.

Ketika disoal oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Dr Mohd Hafiz berkata, bekas perdana menteri itu mengalami cirit-birit sejak Isnin (8 Mei).

"Dia (Najib) tidak layak untuk menghadiri perbicaraan kerana dia diberi titisan (cecair intravena) dan tidak boleh berdiri atau duduk lama," kata doktor itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan perbicaraan ke Khamis.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram