Rating bukan keutamaan, pengusaha hotel gesa kerajaan wujudkan undang-undang khas pantau agensi pelancongan online


  • Massa
  • Rabu, 10 Mei 2023

Hotel memerlukan keuntungan yang tinggi sebelum dapat menyediakan perkhidmatan yang menepati standard sewajarnya mengikut penarafan bintang. — Gambar hiasan

MALAYSIA ketika ini masih belum mempunyai undang-undang khusus bagi mengawal selia agensi pelancongan dalam talian dan penginapan jangka pendek (STRA) yang berisiko menjadi ancaman industri perhotelan negara.

Justeru, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel menggesa kerajaan agar mula membuat perancangan untuk menggubal peraturan bagi menyelesaikan ancaman yang dihadapi industri.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu kemungkinan wujud ulasan palsu yang dibuat secara dalam talian untuk menaikkan taraf bintang sesetengah hotel yang beroperasi di Melaka.

Menurut Ganesh, sebenarnya penilaian semula penarafan bintang bukanlah isu pokok yang dialami kebanyakan pengusaha hotel di seluruh negara.

"Saya rasa benda (semakan semula) ini tidak perlu sebab setiap tiga tahun akan diperbaharui, bintang itu akan berubah mengikut keadaan.

"Isunya orang ramai lebih memilih untuk tinggal di Airbnb, bukannya duduk di hotel. Selain itu, mereka lebih gemar membuat carian menerusi agensi pelancongan dalam talian, ini menyebabkan mereka mengambil komisyen sesuka hati dan beri ulasan buruk tanpa ada sekatan.

"Jadi, kalau kerajaan Melaka tidak dapat selesaikan ancaman industri, jangan nak menyusahkan lagi industri hotel.

"Mereka tidak membantu, sebaliknya keluar dengan pelbagai peraturan, nak buat penarafan bintang lah, apalah sedangkan pelanggan lebih tengok rating dalam Agoda, Booking.com, Trivago dan sebagainya, bukan rating hotel," katanya kepada Majoriti.

Malaysia Budget Hotel Associationnational deputy president Sri Ganesh Michiel.

Ganesh

Ganesh berkata, setakat ini hanya Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah meluluskan pelaksanaan Garis Panduan Pengoperasian Tempat Inap Persendirian di Skim Kediaman Bertanah Berstrata di Negeri Pulau Pinang bermula 1 April lalu.

Dalam pada itu, jelas beliau, hotel memerlukan keuntungan yang tinggi sebelum dapat menyediakan perkhidmatan yang menepati standard sewajarnya mengikut penarafan bintang.

Tambahnya, penggubalan undang-undang terhadap agensi pelancongan dalam talian dan STRA membolehkan hotel membuat keuntungan yang berlipat kali ganda, seterusnya membolehkan mereka memberi semula servis yang baik terhadap pengunjung.

"Selagi dua perkara ini tidak dibuat, macam mana hotel nak dapatkan keuntungan yang cukup? Kalau ada peraturan, harga jualan dalam agensi dalam talian kemungkinan akan ditetapkan ke satu harga yang memihak kepada pihak hotel," ujarnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram