SEORANG gadis bawah umur yang dilaporkan hilang hampir 10 bulan akibat dilarikan kekasihnya akhirnya berjaya ditemukan polis dalam serbuan dilakukan di sebuah stor besi buruk di Jalan Bukit Perah, Kampung Olak Lempit, Banting, Selangor pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sejak dilarikan pada Julai lalu, mangsa dipercayai tinggal bersama suspek di stor berkenaan.
Menurutnya, hasil maklumat risikan, polis berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah kampung di Banting sebelum berjaya menemui mangsa di sebuah kampung di daerah sama.
"Siasatan awal mendapati, motif kejadian dipercayai suspek mengesyaki mangsa mempunyai teman lelaki lain.
"Mangsa yang bercinta dengan suspek sejak 2014 dipercayai mengikut suspek, namun kes disiasat mengikut Seksyen 52 Akta Kanak-kanak 2001 kerana mangsa berusia 17 tahun," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Fakhrudin memberitahu, ketika ditemui mangsa dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Katanya, polis sedang menyiasat sebarang perlakuan seks ke atas mangsa.
Menurut beliau, pembantu kedai besi buruk yang berusia 23 tahun itu ditahan reman dua hari bermula Selasa.
Semakan polis juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Fakhrudin berkata, polis juga menyiasat suspek mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
"Suspek telah mengugut pengadu yang merupakan ibu mangsa bahawa anaknya hanya akan pulang ke rumah selepas si pengadu mati," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram