[VIDEO] Padah cium cermin kereta wanita, lelaki miang rupanya masih jalani rawatan psikiatri


  • 112
  • Selasa, 09 Mei 2023

Tangkap layar seorang penunggang motosikal lelaki menggangu seorang wanita di sebuah jalan raya di Kuching, Sarawak.

POLIS menahan seorang lelaki kerana kerana melakukan gangguan seksual ke atas seorang wanita di atas sebuah jalan raya di Kuching, Sarawak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, berkata, penahanan ke atas suspek berusia 21 tahun itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa, 26, pada Isnin.

Dalam video berkenaan, suspek yang menunggang motosikal bertindak menghentikan kereta mangsa, lalu mencium cermin hadapan kereta mangsa.

“Kira-kira pukul 7 malam di Jalan Kampung Rampangi, Kuching pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching membuat tangkapan ke atas suspek.

“Turut dirampas motosikal yang digunakan suspek semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Merbin lagi, semakan rekod lampau mendapat suspek mempunyai dua rekod berkaitan kes jenayah narkotik dan jenayah harta benda.

Katanya, suspek turut didapati mempunyai kad rawatan pakar psikiatri dari Hospital Umum Sarawak dan masih menjalani rawatan susulan.

"Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28 Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sarawak 1957 dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan seorang wanita di Kuching, Sarawak diganggu oleh seorang lelaki ketika sedang memandu di sebuah jalan raya.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya pada Ahad. Video tular tersebut sempat dirakam oleh mangsa selepas dia menyedari seorang penunggang motosikal mengekorinya dalam keadaan mencurigakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram