[VIDEO] Penduduk berhati kental berdebat dengan ah long pasal bakar 'flyers'


  • Tular
  • Selasa, 09 Mei 2023

Tangkap layar video pertengkaran tersebut yang tular pada Selasa.

TINDAKAN ah long atau peminjam wang tanpa lesen mengiklankan perkhidmatanya di sebuah kawasan perumahan mendapat tentangan daripada penduduk.

Ia selepas seorang penduduk difahamkan bertindak membakar edaran risalah atau flyer yang diletakkan di motosikal penduduk yang diletakkan di kawasan parkir perumahan flat tersebut.

Insiden tersebut tular dalam satu video memaparkan pertengkaran mulut antara seorang lelaki yang juga penduduk kawasan itu dan wanita dipercayai pekerja ah long.

Lelaki berkenaan yang turut bertindak merakam insiden itu dilihat mempertahankan tindakannya membakar risalah iklan tersebut.

Ini selepas pekerja ah long itu berkata, lelaki tersebut perlu memaklumkan kepadanya jika tidak bersetuju dengan iklan diletakkan bagi membolehkannya mengutip kembali bahan edaran berkenaan.

WhatsApp Image 2023-05-09 at 5.21.15 PM

Pekerja ah long itu yang dilihat datang bersama dua lagi individu kemudiannya mengalah dan beredar daripada kawasan tersebut dengan menaiki kenderaannya.

Malah, dalam pertelingkahan yang berlarutan selama lebih dua minit itu, wanita terbabit juga mempersoalkan kewajaran lelaki tersebut membakar risalah terbabit.

"Saya nak tanya encik, adakah betul tindakan encik ini untuk kutip tanpa beritahu kami dan bakar?" soalnya.

Bagaimanapun, lelaki itu membalas dengan mengatakan dia tidak perlu dibuat kerana iklan perkhidmatan sedemikian menyalahi undang-undang.

"Memang saya bakar, awat (kenapa) hampa (kamu) ingat kami takde duit ke. Hampa dok buat pinjaman ah long esok-esok menyusahkan orang," ujar lelaki tersebut dalam video berdurasi dua minit 18 saat itu yang tular pada Selasa.

Pekerja ah long itu dilihat kemudiannya mengalah dan beredar dari kawasan tersebut.

Tempat dan waktu insiden tersebut bagaimanapun tidak dapat dipastikan, namun berdasarkan kepada loghat percakapan individu dalam video tersebut, ia dipercayai berlaku di kawasan negeri bahagian utara Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram