Nak bayar hutang tetapi tak dapat kesan si pemiutang, ketahui apa hukumnya


  • Mukmin
  • Ahad, 11 Dis 2022

Membayar semula hutang merupakan tanggungjawab wajib dan jika tidak dibayar, maka seseorang itu sudah berbuat zalim.

KESEMPITAN hidup membuatkan seseorang memilih untuk meminjam dan menjadikan individu terdekat seperti saudara mara, adik beradik dan rakan-rakan sebagai ‘sumber’ kewangan segera.

Mereka inilah yang menjadi ‘pemudah cara’ kerana tidak memerlukan sebarang dokumen rasmi sebagai simbolik kepada urusan pinjam meminjam.

Namun, bagaimana pula jika wang yang digunakan tidak dipulangkan semula seperti dijanjikan bak kata pepatah lain di mulut lain di hati.

Kemungkinan wang yang dipinjam tidak akan dipulangkan atau dibayar balik sememangnya ada. Tetapi perkara itu tidak boleh dikira pukul rata kerana bukan semua individu berperilaku sebegitu.

Tentu sahaja ada yang berusaha keras untuk mencari duit bagi membayar semula jumlah pinjaman yang diperoleh.

side-view-business-man-calculating-finance-numbers

Bagaimana pula jika individu yang memberi hutang itu tidak memulangkan semula wang dipinjamkan atas sebab tertentu.

Antaranya kerana orang itu berpindah dan tidak ditemui meskipun sudah berusaha untuk mencarinya.

Menurut Datuk Mohd Asri Zainul Abidin daripada muftiperlis.goy.my, seseorang yang ingin membayar hutang, hendaklah berusaha semampunya untuk mencari si pemiutang.

“Jika dia sudah usaha, tiada jalan untuk mengetahui di mana pemiutang itu, maka para ulama yang membahas bab ini mencadangkan untuk dia bersedekah.

“Jumlahnya dengan kadar hutang berkenaan. Pahala sedekah itu diniatkan untuk pemberi hutang,” jelasnya.

Biarpun sudah dikatakan wang tersebut boleh ditukar kepada sedekah, tetapi tanggungjawab membayar hutang wajib dilaksanakan.

forum hudud.starpix by Ibrahim Mohtar/Rahimy/12/0217

Jika seseorang berhutang dengan niat untuk membayar kembali dan tidak sengaja melewatkan pembayarannya maka dia tidak berdosa.

Jika sebaliknya, iaitu sengaja melewatkan pembayaran, padahal mampu sehingga pemiutang (pemberi hutang) berpindah.

Maka itu termasuk dalam sabda Rasulullah SAW: “Melewatkan pembayaran hutang oleh orang mampu adalah satu kezaliman.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ini juga membawa maksud dosa tersebut akan dibawa pada hari kiamat sebagai satu kezaliman kepada diri pemiutang.

Jika suatu hari, pemiutang datang menuntut hutangnya setelah sedekah dilakukan, maka orang yang berhutang boleh memaklumkan kepadanya bahawa jumlah tersebut sudah disedekahkan.

“Sekiranya dia bersetuju dengan hal itu, maka hutang tersebut dianggap langsai. Jika dia tidak bersetuju dan menuntut kembali hutangnya, maka hendaklah dibayar kembali hutang tersebut.

“Adapun sedekah sebelum itu pahalanya kembali kepada pihak yang berhutang,” jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram