Baru pinjam dari bank, jururawat rugi RM198,000 diperdaya terlibat sindiket senjata api, edar dadah


  • 112
  • Jumaat, 30 Dis 2022

Mangsa yang menyedari dirinya diperdaya bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan. — Gambar hiasan

GARA-GARA terpedaya dengan Sindiket Macau Scam, seorang jururawat berdepan nasib malang apabila kerugian wang berjumlah RM198,000 yang baru dipinjam daripada pihak bank.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wanita berusia 36 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pihak syarikat penghantaran barang pada 13 Disember lepas.

Beliau berkata, panggilan telefon tersebut kemudian disambungkan kepada ‘pegawai polis’ yang memaklumkan, kononnya mangsa terlibat dalam sindiket senjata api dan pengedaran dadah.

"Sejurus itu, suspek telah meminta mangsa membuat pinjaman peribadi dan telah memberikan satu pautan untuk mengisi maklumat wanita berkenaan.

"Setelah pinjaman peribadi diluluskan oleh pihak bank daripada tempoh permohonan lebih kurang dua minggu, wang tersebut telah dipindahkan ke akaun suspek tanpa disedari oleh mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, mangsa yang menyedari dirinya diperdaya bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Pahang pada Khamis, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Ramli turut mengingatkan masyarakat bahawa, pihak penguat kuasa tidak menjalankan sebarang siasatan melalui panggilan telefon dan sentiasa melakukan semakan dengan balai polis, bank atau pejabat berkaitan yang berhampiran untuk pengesahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram