Jenayah Macau Scam semakin meningkat di Kelantan, catat kerugian RM5.9 juta


  • 112
  • Sabtu, 03 Dis 2022

MUHAMMAD Zaki berkata, kes terbaharu yang direkodkan adalah penipuan menggunakan nama masjid untuk mengutip derma yang berlaku di Tumpat. — Awani

KES jenayah kian meruncing di negeri Kelantan dengan peningkatan jumlah kerugian sebanyak RM24.8 juta direkodkan bagi Januari hingga November tahun ini berbanding RM16.07 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam tempoh tersebut sebanyak 904 kes dicatatkan iaitu peningkatan sebanyak 30 kes berbanding 874 kes tahun lalu.

"Kes tertinggi yang direkodkan tahun ini adalah berkaitan penipuan Macau scam iaitu 171 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM5.9 juta.

"Penipuan lain yang direkodkan melibatkan e-Dagang, pelaburan, pinjaman tidak wujud, kerja sambilan dalam talian, 'love scam', menyamar pinjam wang, 'phishing', tipu nombor TAC dan tipu menang peraduan dengan nilai keseluruhan kerugian sebanyak RM14.1 juta.

"Polis Kontinjen Kelantan juga turut merekodkan kes tipu secara bersemuka, pecah amanah, ah long dan lain-lain kes jenayah siber serta multimedia dengan kerugian melebihi RM10 juta pada tahun ini," katanya.

Menurut Muhamad Zaki, kes terbaharu yang direkodkan adalah penipuan menggunakan nama masjid untuk mengutip derma yang berlaku di Tumpat pada 29 Oktober lepas.

Beliau berkata, dalam kejadian itu seorang lelaki yang menyamar sebagai penghulu telah menggunakan nama samaran Imam di Tumpat dan meminta sumbangan untuk satu majlis melibatkan anak-anak yatim.

"Mangsa telah menyerahkan wang sebanyak RM2,300 untuk derma tersebut dan mula sedar ditipu selepas mendapati tiada sebarang program diadakan di masjid yang didakwa.

"Susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa berusia 48 tahun, polis telah berjaya menahan seorang suspek berusia 28 tahun di Kemumin, Kota Bharu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya. — Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram