ETS jadi pilihan, pengunjung disaran guna pengangkutan awam ke LIMA '23


  • Primer
  • Ahad, 07 Mei 2023

Peserta 24 Hours Challenge LIMA 23 berlepas ke Langkawi dengan menaiki pengangkutan awam di Stesen Kuala Lumpur.

MENJELANG penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) yang bakal berlangsung pada 23 hingga 27 Mei nanti, pengunjung mempunyai pelbagai pilihan pengangkutan awam yang boleh digunakan untuk ke lokasi acara tersebut.

Perkara itu turut disokong kuat oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) yang mengadakan beberapa program menjelang penganjuran LIMA tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan menyarankan agar orang awam di Malaysia mempraktikkan sebaik mungkin pengangkutan awam bersempena penganjuran program mega itu.

WhatsApp Image 2023-05-07 at 12.27.05

Datuk Jana Santhiran Muniayan ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran 24 Hours Challenge LIMA '23 di ibu negara.

“Penganjuran program ini merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pengangkutan untuk mempromosi pengangkutan komersial yang merupakan sektor penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya mengharapkan orang ramai terus menyokong Kementerian Pengangkutan dalam memastikan sektor pengangkutan terus mampan dan memberi impak kepada pembangunan negara.

“Tahun ini, kami menjangkakan lebih kurang 45,000 pelawat dari seluruh dunia akan hadir ke LIMA dan pengangkutan awam amat disarankan kepada orang ramai khususnya rakyat Malaysia.

“Keberhasilan sektor ini tidak akan tercapai tanpa usaha dan kerjasama antara satu sama lain,” ujarnya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, berapa individu pempengaruh turut dijemput bagi memeriahkan program tersebut khususnya Pertandingan 24 Hours Challenge yang memerlukan peserta untuk bertolak dari KL Sentral ke MAHA Tower, Langkawi dalam tempoh masa 24 jam menggunakan pelbagai mod pengangkutan awam.

WhatsApp Image 2023-05-07 at 12.27.31

Beberapa peserta dan individu pempengaruh yang menyertai cabaran 24 Hours Challenge LIMA '23.

Mengulas lanjut berhubung hal itu, salah seorang pempengaruh media sosial, Sobri Yaakob memuji perkhidmatan awam di negara ini yang disifatkan serba lengkap dari segala aspek fasiliti dan keperluan masyarakat.

“Memang saya galakkan naik pengangkutan awam ke LIMA nanti, pelbagai pilihan ada dan ia lebih mudah daripada memandu kereta.

“Tren ETS merupakan perkhidmatan terbaik yang boleh saya sarankan, tiada isu lewat atau tergendala, semuanya berjalan lancar kalau kita buat perancangan betul,” ujarnya kepada Majoriti.

Tidak menolak terdapat pelbagai lagi pengangkutan awam lain yang boleh digunakan, namun jelas Sobri, pengunjung dari warga kota terutamanya disaran menggunakan ETS sebagai salah satu pengangkutan awam sebelum bertukar ke mod perkhidmatan lain.

Menyahut gesaan MOT dalam merancakkan lagi penggunaan pengangkutan awam menjelang penganjuran LIMA '23, rakyat Malaysia juga mempunyai pelbagai pilihan lain seperti kereta api, bas, teksi, perkhidmatan e-hailing, feri dan kapal terbang.

Pada Sabtu, MOT turut mengadakan beberapa aktiviti sampingan iaitu Program Hari Bertemu Pelanggan, Karnival Kerjaya, Pameran Mini dan Majlis Pelepasan Peserta Pertandingan 24 Hours Challenge LIMA '23 di Stesen Kuala Lumpur bagi menyemarakkan lagi aktiviti mempromosi penganjuran berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram