PELAKON, Puteri Sarah Liyana memfailkan nusyuz ke atas suaminya, pengarah dan pelakon Syamsul Yusof di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada Isnin.
Melalui peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader, Puteri Sarah, 37, memfailkan nusyuz terhadap Syamsul, 39, atas beberapa sebab dan salah satunya gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai suami.
"Puteri Sarah turut mempunyai alasan mengapa dia memfailkan nusyuz berkaitan tidak bertanggungjawab.
"Berkaitan dengan jawapan nusyuz, anak guam saya menafikan semua tuduhan yang dilemparkan," katanya.
Dalam pada itu, Akberdin memberitahu dirinya masih belum menerima sebarang arahan daripada anak guam susulan dakwaan Syamsul sudah melafazkan cerai seperti didakwa sebelum ini.
"Setakat ini tiada sebarang arahan dari anak guam kami tentang kesahihan itu," ujarnya.
Kedua-duanya tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili oleh peguam masing-masing.
Sementara itu peguam Syamsul, Azmi Rais, berkata, pihaknya akan meneliti segala tuntutan nusyuz yang dikemukan oleh Puteri Sarah dan akan memberi jawapan balas.
"Kami akan teliti tuntutan tersebut dan masukkan jawapan terhadap pembelaan nanti," terangnya.
Hakim menetapkan sebutan semula kes nusyuz pada 14 Jun depan.
Sebelum ini, Syamsul memfailkan nusyuz terhadap Puteri Sarah pada 21 Mac manakala Puteri Sarah memasukkan pernyataan pembelaan selepas tuntutan diterima pada 24 Mac.
Hakim kemudian meminta Puteri Sarah mengemukakan pembelaan terhadap dakwaan Syamsul pada 6 April.
Puteri Sarah dilaporkan memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu gagal menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram