MENGADAKAN rumah terbuka dalam bulan Syawal boleh dianggap sebagai salah satu trend sambutan Aidilfitri.
Masakan tidak, boleh dikatakan hampir 30 hari itu pasti ada saja yang mengundang ke rumah terbuka.
Pelbagai jenis hidangan disediakan kepada tetamu termasuk kediaman yang dihias indah untuk tatapan dan keselesaan jemputan.
Mengadakan rumah terbuka dalam bulan Syawal antara salah satu perkara yang kerap.
Tentu sahaja apabila hidangan dan persekitaran kediaman mempesona akan membuatkan tetamu gembira dan berasa kagum selain tidak henti-hanti memberikan pujian.
Bagaimanapun, kata-kata manis itu bimbang akan memakan diri sekiranya tuan rumah tidak membetulkan niat sebenar mengadakan rumah terbuka.
Ini kerana setiap amalan ibadah hendaklah dibuat dengan niat kerana ALLAH SWT. Ikhlas kepada SANG PENCIPTA itu akan membuatkan seseorang mendapat ganjaran kebaikan daripada ALLAH.
Mohamad Dininazmi Sabri.
Pensyarah Pengajian Islam Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Mohamad Dininazmi Sabri, berkata, penting untuk tuan rumah membetulkan niat sebelum mengadakan rumah terbuka.
“Ada banyak peluang untuk tuan rumah mendapat pahala dengan mengadakan rumah terbuka iaitu mengeratkan hubungan, memuliakan tetamu dan membantu golongan kurang berkemampuan.
“Disebabkan itu, membetulkan niat penting agar tidak menyimpang daripada tujuan asal sekali gus dijauhkan daripada perasaan riak,” katanya kepada Majoriti.
Namun, tidak dinafikan sedikit sebanyak perasaan itu akan timbul kerana tuan rumah termakan pujian tetamu.
Bagi menjauhkan perasaan itu, ingatlah firman ALLAH dalam al-Quran surah al-Qasas, ayat 76 bermaksud: “Janganlah engkau bermegah-megah dengan kekayaan mu. Sesungguhnya ALLAH tidak suka dengan orang yang bermegah-megah.”“Kalau niat untuk bermedah dan menunjuk, maka itu dilarang di sisi Islam. Sekiranya niat membuat rumah terbuka untuk mengeratkan hubungan dan membantu mereka tidak berkemampuan, maka itu dibenarkan,” terangnya.
Sementara itu bagi yang kurang berkemampuan, tetapi mempunyai niat untuk menjamu tetamu makan, cukuplah sekadar bersederhana dan mengikut kemampuan.
Tidak perlu terlalu terikut-ikut orang lain semata-mata untuk menunjuk-nunjuk dan berbangga diri dengan pujian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram