Tadika terbakar di Taman Bukit Tiram, bomba sahkan bangunan tidak selamat


  • 112
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 8.38 pagi. — Bomba

KEADAAN bangunan Tadika Sri Orkid di Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram, Johor yang terbakar pada Khamis tidak selamat untuk digunakan setakat ini.

Bagaimanapun, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Salleh Mohamed memaklumkan pihak bomba masih menyiasat sama ada premis tersebut boleh beroperasi atau tidak selepas kejadian terbabit.

"Setakat ini (kebenaran premis beroperasi) masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan premis tersebut diambil alih oleh pihak itu hingga penyiasatan selesai," katanya kepada Majoriti pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kebakaran pada Khamis tersebut tidak melibatkan sebarang mangsa atau premis berhampiran dengannya.

Pada Khamis, 36 murid dan guru di tadika terbabit sempat menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran dalam premis tersebut.

Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 8.38 pagi.

Menurutnya, seramai lapan anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudiannya dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kebakaran melibatkan rumah dua tingkat jenis struktur kekal berkeluasan 6x21 meter yang dijadikan tadika. Premis itu tetap beroperasi pada Khamis walaupun pada hari cuti umum.

"Api dapat dikawal dalam masa 10 minit dan operasi memadam kebakaran selesai pada 11.15 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram