'Saya jumpa Bella hujung minggu ini', Zurianty mahu sampaikan sendiri berita Siti Bainun dihukum penjara


  • Massa
  • Khamis, 04 Mei 2023

Hukuman yang dijatuhkan kepada Siti Bainun (kiri) bukan sahaja kemenangan buat Bella (kanan), tapi untuk kanak-kanak lain yang senasib dengannya.

HUKUMAN penjara selama 12 tahun yang dikenakan terhadap Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kerana didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella pada Khamis disifatkan sebagai kemenangan terhadap kanak-kanak tersebut dan negara.

Aktivis wanita, Mona Din berkata, walaupun jangkaan Siti Bainun didapati bersalah sudah dapat diramal, namun pihaknya pada mulannya menjangka hukuman yang akan dikenakan mungkin tidak berat.

Malahan, perbincangan dengan rakan-rakan peguam lain turut sependapat berdasarkan trend semasa kes-kes penderaan melibatkan kanak-kanak di Malaysia.

"Bila berbincang soal hukuman berdasarkan trend semasa di Malaysia, kebanyakan kes dera hanyalah denda, kalau penjara pun tidak lama, sekadar satu hingga dua tahun sahaja. Bagaimanapun bagi kami perlu dikenakan lebih lama.

"Tapi bila Siti Bainun dikenakan penjara selama 12 tahun kami sangat terharu dan bersyukur dengan keputusan dikeluarkan tuan hakim yang bijaksana," katanya kepada Majoriti pada Khamis.

Dalam pada itu, Mona Din turut berharap keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu tersebut menjadi satu penanda aras baharu bagi kes melibatkan penderaan kanak-kanak di Malaysia.

Katanya, berita gembira itu bukan sahaja untuk Bella, tapi untuk kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) lain sebagai satu bentuk perlindungan terhadap golongan tersebut.

"Kita tahu perbuatan dia (Siti Bainun) sangat serius, tidak ada manusia akan melakukan perkara sebegitu kepada binatang, apatah lagi kepada manusia khususnya kanak-kanak yang hidup sebatang kara, ia sangat kejam.

KUALA LUMPUR, 21 Julai -- Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali hadir untuk perbicaraan kes yang dihadapinya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.Siti Bainun, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Siti Bainun ketika hadir hadir untuk perbicaraan kes yang dihadapinya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 21 Julai tahun lalu. Bernama.

"Mungkin ALLAH hantarkan Bella ini, seorang anak yang tidak diketahui keturunannya untuk memberikan satu teladan dan buka lembaran baharu kepada negara supaya mengambil serius kepada kes berkaitan penderaan kanak-kanak," katanya.

Mengulas lanjut tentang keadaan terkini Bella, Mona Din memaklumkan kanak-kanak tersebut yang masih ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seremban, Negeri Sembilan sehingga kini.

Walaupun dia dalam keadaan sihat dan telah kembali ke sekolah, namun katanya, Bella masih trauma dengan apa yang berlaku pada dirinya.

"Saya mendengar khabar yang Bella masih menjerit sampai sekarang bila tidur malam. Emosinya terganggu, mudah takut dengan manusia dan hanya ingin berjumpa seorang dua sahaja.

"Dia kadang-kadang mudah hilang semangat dan perlukan dorongan daripada orang yang sayangkan dia seperti Mommy Zurianty kerana dia sudah tidak mudah percaya kepada orang lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, rakan baik kepada Siti Bainun, Zurianty Sudin, 40, ketika dihubungi Majoriti memaklumkan akan bertemu dengan Bella pada hujung minggu tersebut untuk memaklumkan khabar gembira tersebut.

Bagaimanapun dia yang juga saksi pertama pihak pendakwaan tidak menolak kemungkinan berita tersebut telah dimaklumkan oleh pegawai yang menjaga Bella di JKM Seremban.

"Saya masih belum berjumpa Bella untuk maklumkan keputusan mahkamah tersebut. Mungkin hujung minggu ini baru jumpa dia dan maklumkan kepadanya.

"Rasanya Bella dah dimaklumkan oleh pegawai yang menjaganya di JKM Seremban. (Tapi) bukan mudah untuk beritahu dia kerana pemahamannya berbeza dengan orang lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram