Insiden 3 kru kapal terbakar hilang: Bantuan Indonesia diminta cari mangsa di Tanjung Pinang


  • 112
  • Khamis, 04 Mei 2023

Kapal MV Polaris dari Jabatan Laut Malaysia melakukan usaha semburan air di bahagian badan kapal tangki MT Pablo dan memantau situasi semasa keadaan kapal tangki terbabit.— APMM

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak menolak kemungkinan tiga kru kapal tangki MT Pablo yang hilang di Tanjung Sedili, Johor Bahru, Johor sejak Isnin akan hanyut ke perairan Tanjung Pinang, Indonesia.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, operasi carilamat ketiga-tiga kru terbabit memasuki hari keempat dengan tindakan Pasukan Tindakan Khas (PTK) APMM menurunkan tangga ke kapal MT Pablo menggunakan pesawat AW139 untuk dijadikan laluan masuk pasukan Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mencari mangsa di dalam kapal berkenaan.

Menurutnya, kapal KD Pendekar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku On Scene Coordinator (OSC) dan kapal MV Polaris dari Jabatan Laut Malaysia melakukan usaha semburan air di bahagian badan kapal tangki MT Pablo dan memantau situasi semasa keadaan kapal tangki terbabit.

"Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru memaklumkan kepada pihak Pusat Koordinasi Penyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya untuk memohon bantuan dari pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) dari Indonesia kerana mungkin mangsa akan hanyut memasuki perairan Tanjung Pinang, Indonesia.

"Kemungkinan tersebut dibuat berdasarkan simulasi dari Sistem Search and Rescue Optimal Planning System (SAROPS)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Nurul Hizam memaklumkan usaha pencarian di laut turut dibantu sebuah bot ronda Pasukan Polis Marin dan dua buah bot ronda milik Maritim Malaysia dengan keluasan sektor pencarian 393 batu nautika persegi.

Katanya, tiga kru kapal MT Pablo yang masih hilang adalah Satyam Tripathi, 26 dan Dinesh Kumar Chauhan, 34 masing-masing merupakan warganegara India, termasuk Sabit Shenderovsky, 37 warganegara Ukraine.

Media sebelum ini melaporkan tiga kru kapal hilang manakala 25 lagi berjaya diselamatkan selepas sebuah kapal tangki berdaftar dari Gabon, Afrika terbakar pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili, Johor Bahru, Johor pada petang Isnin.

Nurul Hizam berkata pihak APMM menerusi MRSC Johor Bahru menerima makluman berhubung kejadian terbabit pada 4 petang.

Katanya, kapal tangki tersebut dilaporkan dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura bersama 28 kru kapal.

Capture

Hantaran terakhir individu dipercayai salah seorang kru yang hilang, Satyam di Facebook sempena hari lahir ke-27 tahun pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, salah seorang kru kapal yang hilang dipercayai Satyam Tripathi sempat memuat naik sekeping gambar di Facebooknya sempena hari lahirnya ke-27 tahun pada Isnin.

Gambar Satyam berpakaian kru kapal itu dimuat naik pada pukul 12.44 tengah hari, kira-kira empat jam sebelum insiden tersebut berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram