Dua lelaki diburu, disyaki tetak pengembala kambing sampai mati di Kapar


  • 112
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima tiga tetakan di bahagian kepala, tangan dan badan. — Gambar hiasan

POLIS memburu suspek yang menetak seorang pengembala kambing hingga mati di Kampung Perepat, Kapar, Selangor pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian terbabit kira-kira pukul 5.15 petang.

Menurutnya, mangsa berumur 47 tahun ketika itu sedang menuntun seekor kambing sebelum didatangi oleh dua lelaki menaiki motosikal yang bertindak menetaknya di dalam semak berhampiran.

"Mangsa menerima tiga kesan tetakan di bahagian kepala, tangan, dan badan kemudiannya dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan.

"Namun pegawai perubatan HTAR Klang mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes terbabit boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asistan Superintenden Polis Hanis Idris di talian 019-9099763 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32912222 atau mana-mana balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram