Gangguan seksual: Panggil rakan sekerja 'sayang' atau 'dear' boleh kena tindakan tatatertib


  • Massa
  • Ahad, 07 Mei 2023

Penjawat awam yang curang atau menjalinkan hubungan sulit bersama pekerja yang sudah berkahwin turut boleh dikenakan tindakan. 

PANGGILAN ‘sayang’ atau ‘dear’ terhadap rakan sekerja, menghantar mesej berbaur seks merupakan antara kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib terhadap penjawat awam.

Selain itu, penjawat awam yang curang atau menjalinkan hubungan sulit bersama pekerja yang sudah berkahwin turut boleh dikenakan tindakan.

Perkara tersebut antara jenis gangguan seksual yang disenaraikan di dalam surat edaran bertarikh 7 April lalu dan dimuat naik menerusi laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Berdasarkan Surat Edaran Senarai Semak Dokumen Tindakan Tatatertib Bengkel Tata Kelola Urusan Tatatertib 2023 itu, ia menjelaskan mengenai kesalahan berhubung kes gangguan seksual dan menjalinkan hubungan sulit.

Sementara itu, tindakan seperti menyentuh, memegang, mencabul, mencium, mencubit dan memeluk diklasifikasikan sebagai gangguan seksual fizikal.

Penjawat awam juga dianggap melakukan gangguan seksual visual jika menghantar gambar tidak senonoh serta mesej berbaur seks atau 'sexting' menerusi platform seperti WhatsApp dan seumpamanya.

Ketika membuat aduan, mangsa perlu memaklumkan kesan akibat gangguan terbabit secara terperinci seperti menyebabkan fikiran terganggu, perasaan kurang senang, rasa terhina dan sebagainya.

Pada masa yang sama, pekeliling itu turut menyatakan bahawa mangsa, semasa membuat laporan, perlu memperincikan apa yang mereka lalui akibat gangguan itu, seperti rasa terhina dan mengalami tekanan emosi atau mental.

Aduan itu juga perlu memasukkan masa, tarikh dan tempat kejadian.

Semua kesalahan itu boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan 4A Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram