[VIDEO] Tular nahas remaja cedera 2 motosikal masuk longkang di Rembau, polis sahkan bukan lumba haram


  • 112
  • Ahad, 07 Mei 2023

Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan lanjut. — Facebook

KEMALANGAN yang melibatkan sekumpulan remaja pada Sabtu di Kilometer 2, Jalan Rembau menghala ke Sepri, Rembau, Negeri Sembilan bukanlah berpunca dari lumba haram seperti yang ditularkan di media sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad, kemalangan kira-kira pukul 8.45 malam Sabtu merupakan kemalangan biasa.

"Ia membabitkan tiga kenderaan itu iaitu dua motosikal jenis SYM dan Honda RSX serta kereta jenis Honda City.

"Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua buah motosikal berkenaan datangnya dari arah Rembau menghala ke Sepri dan kesemuanya baru pulang dari Pekan Rembau.

“Setiba di kawasan selekoh tempat kejadian motosikal jenis SYM hilang kawalan dan melanggar bahagian sisi kanan belakang kereta Honda City dan bergesel dengan motosikal Honda RSX yang datang dari belakang arah yang sama.

“Kedua-dua motosikal kemudiannya terbabas masuk ke longkang sebelah kanan arah bertentangan,” katanya dalam pada Sabtu.

Tambah Hazri lagi, akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang serta pembonceng kedua-dua motosikal yang kesemuanya remaja lelaki berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan dibawa oleh pihak ambulans ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut.

"Penunggang motosikal SYM mengalami kecederaan pada bahagian pergelangan tangan kiri, manakala pemboncengnya pula luka ringan di tangan dan siku sebelah kanan.

“Penunggang Honda RSX pula cedera di kepala dan pembonceng luka pada kedua-dua siku serta kedua-dua lutut.

“Pemandu kereta iaitu lelaki berusia 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan serius," katanya.

Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram